AZIZUHASNI sasar emas di Olimpik Paris.
AZIZUHASNI sasar emas di Olimpik Paris.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang yakin daya ketahanan mentalnya jauh lebih kuat berbanding sebelum ini ketika bersiap sedia menyertai temasya Sukan Olimpik Paris 2024 pada Julai ini.

Walaupun terdapat keraguan beberapa pihak selepas menjalani pembedahan jantung terbuka pada tahun 2022, beliau percaya keadaan daya ketahanan mentalnya meningkat dengan ketara selepas mengharungi detik mencabar dalam kerjayanya.

Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman menetapkan sasaran untuk memenangi emas di Olimpik Paris pada penampilan terakhirnya dan kelima di temasya terbesar dunia itu.

"Kekuatan mental sudah mantap sebelum ini tetapi selepas mengharungi proses (pembedahan jantung), ia bertambah lebih mantap.

"Jika anda mempunyai minda dan badan kuat...sebarang kesukaran atau cabaran menghadapi saya sekarang bukanlah apa-apa," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada pelancaran menu bertemakan Olimpik di restoran Jepun terkenal Nobu di sini hari ini.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu berusia 36 tahun itu menjalani pembedahan jantung terbuka susulan mengalami msalah gantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari arota di posisi janggal (AAORCA) di Hospital Epworth Richmond di Melbourne, Australia pada April 2022.

Azizulhasni mengakui bahawa beliau sangat terkejut dengan prestasinya pada pertandingan semasa kerana pada mulanya menjangkakan penurunan prestasi apabila mencapai usia pertengahan 30-an.

"Semasa latihan di gimnasium, saya masih berasa kuat.. Kami mempunyai data yang boleh menjejaki segala-galanya, termasuk kuasa dan kelajuan saya dan jurulatih (John Beasley). ) juga terkejut (hasilnya)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 6:40 PM