Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berucap ketika Forum Global mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF) 2024 Kuala Lumpur Convention Center (KLCC). FOTO ASYRAF HAMZAH
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berucap ketika Forum Global mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF) 2024 Kuala Lumpur Convention Center (KLCC). FOTO ASYRAF HAMZAH
BERNAMA

Kuala Lumpur: Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan melancarkan pelan induk untuk hab blockchain patuh Syariah (SBH) pertama di dunia bagi Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC).

Amir Hamzah berkata permintaan global untuk produk pelaburan patuh Syariah dianggarkan sebanyak AS$3.8 trilion (AS$1=RM4.69).

Oleh itu, katanya potensi teknologi blockchain akan menyumbang dengan ketara kepada ekonomi Islam, terutamanya dalam memberi tumpuan kepada pasaran yang belum diterokai oleh 1.9 bilion komuniti Islam.

"Pelan induk ini memanfaatkan teknologi blockchain untuk meningkatkan ekonomi digital Islam, memastikan ia memenuhi keperluan dan nilai masyarakat Islam global selain menjadikan Malaysia sebagai peneraju global dalam kewangan digital Islam," katanya pada pelancaran pelan induk itu sempena Forum Global mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF) 2024 di sini.

Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) Nik Mohamed Din Nik Musa dalam kenyataan berkata Labuan IBFC akan menjadi pemain hadapan dalam kewangan digital Islam, menawarkan teknologi aplikasi termaju dan kontrak pintar.

Beliau berkata Labuan SBH akan merevolusikan landskap kewangan Islam global.

"Inisiatif ini akan memangkin kemajuan, menggalakkan libat urus, hubungan dan kerjasama dalam kalangan teknologi kewangan antarabangsa (fintech) dan penyedia teknologi digital untuk membangunkan dan menawarkan produk dan perkhidmatan yang inovatif, terutamanya kepada segmen pasaran yang tidak mendapat perkhidmatan dan kurang mendapat perkhidmatan di seluruh dunia.

"Insentif cukai ini akan menyemarakkan semula sektor kewangan Islam Labuan dan melengkapkan inisiatif Labuan FSA untuk meningkatkan kewangan Islam, sejajar dengan kepimpinan global Malaysia dalam kewangan Islam seperti digariskan dalam Kerangka Ekonomi MADANI Malaysia," katanya.

Menurut kenyataan, kerajaan Persekutuan telah memberikan pengecualian cukai selama lima tahun dengan sifar peratus bermula dari tahun taksiran 2024 untuk pemain digital Islam Labuan bagi mengukuhkan lagi status Labuan IBFC sebagai hab untuk kewangan Islam.

Pengawal selia itu berkata pelan induk SBH telah dibangunkan oleh Labuan FSA dengan matlamat untuk mentransformasikan Labuan IBFC kepada hab kewangan digital utama dan platform untuk teknologi blockchain.

Sejajar dengan Pelan Hala Tuju Teknologi Blockchain Negara 2021-2025, katanya ciri utama inisiatif itu antara lain mewujudkan sistem kewangan yang menggalakkan keadilan sosial, kestabilan ekonomi dan tingkah laku beretika mengikut Syariah dan menggunakan kontrak pintar dalam blockchain untuk mengautomasikan dan menguatkuasakan proses kontrak untuk institusi Islam dalam parameter Syariah.

Pelan induk itu merupakan komponen penting dalam inisiatif Pusat Aset Digital Islam yang dilancarkan pada 2022 untuk menarik aset digital dan pemain fintech ke Labuan dan mewujudkan segmen khusus dalam kewangan Islam digital, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 7:13 PM