PASUKAN penyelamat membawa turun mayat remaja lelaki yang ditemukan meninggal dunia dipercayai terjatuh gaung di Bukit Broga, Semenyih. FOTO ihsan bomba
PASUKAN penyelamat membawa turun mayat remaja lelaki yang ditemukan meninggal dunia dipercayai terjatuh gaung di Bukit Broga, Semenyih. FOTO ihsan bomba
Raja Noraina Raja Rahim


Kajang: Remaja lelaki maut selepas dipercayai terjatuh gaung ketika mendaki Bukit Broga, Semenyih di sini, hari ini.

Adi Putra Effendi, 16, ditemukan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menjalankan operasi pencarian selepas menerima laporan mengenai mangsa sesat daripada penjaganya.

Pengarah JBPM Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.08 petang, semalam.

Beliau berkata, maklumat awal diterima oleh pemanggil dipercayai penjaga yang memberitahu remaja lelaki sesat semasa sedang menjalankan aktiviti riadah bersama penjaga dan dua rakannya di Bukit Broga.

"Mereka memulakan pendakian pada 8 pagi sebelum mangsa disedari hilang pada 11.15 pagi.

"Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih digerakkan ke lokasi bagi menyelaras gerakan mencari dan menyelamat bersama agensi bantuan lain seperti polis, malim gunung, ranjer hutan, Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta pasukan bomba sukarela membabitkan kekuatan 47 anggota.

"Operasi pencarian menggunakan kaedah 'sweeping searching' dijalankan dari Puncak 1 hingga Puncak 3 membabitkan keluasan 1.5 kilometer," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Md Razali berkata, operasi pencarian pada hari pertama ditangguhkan 2.30 pagi selepas gagal menemukan mangsa sebelum diteruskan semula pagi ini.

Menurutnya, pasukan penyelamat kemudian menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai terjatuh gaung pada kedalaman 10 meter di lokasi kira-kira 100 meter dari pintu gerbang Bukit Broga pada 2.50 petang tadi.

Kata beliau, mangsa berjaya dibawa keluar oleh pasukan penyelamat pada 3.42 petang.

Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 6:32 PM