Anggota Bomba memberi rawatan awal terhadap beberapa kucing yang kemudian mati akibat lemas dipercayai terhidu asap. FOTO IHSAN BOMBA
Anggota Bomba memberi rawatan awal terhadap beberapa kucing yang kemudian mati akibat lemas dipercayai terhidu asap. FOTO IHSAN BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Enam kucing peliharaan mati dipercayai lemas terhidu asap ketika empat rumah di Jalan Pantai Mereka, Taman Seri Kota Kuala Muda, terbakar, hari ini.

Pasukan Bomba sudah berusaha menyelamatkan nyawa kucing berkenaan dengan memberi rawatan awal namun selepas itu kesemua mereka akhirnya mati.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Syukri Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 5.53 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota dari BBP Tikam Batu yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mihat Jaafar tiba di lokasi tidak lama kemudian.

"Operasi turut disertai BBP Kota Kuala Muda, BBP Sungai Petani, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Petani dan Bakar Arang.

"Setibanya di lokasi, didapati empat rumah kelas A sedang terbakar dan operasi pemadaman sedang dilakukan ketika itu.

"Api berjaya dikawal pada jam 6.36 petang dari merebak ke rumah lain" katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Syukri berkata, anggaran peratus kebakaran empat rumah terbabit sekitar 10 hingga 85 peratus.

Bagaimanapun katanya, punca dan kerugian masih dalam siasatan bomba ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 9:14 PM