LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Raja Noraina Raja Rahim


Kajang: Remaja lelaki yang meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh gaung ketika mendaki di Bukit Broga, Semenyih di sini, adalah penghuni sebuah rumah kebajikan di Sungai Buloh, Selangor.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, polis menerima laporan kes orang hilang pada 4 petang semalam.

"Mangsa hilang semasa menjalankan aktiviti pendakian bersama seorang penjaga serta dua rakan pada 12.30 tengah hari.

"Bertindak atas maklumat, satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan oleh polis, bomba, Unit Anjing Pengesan (K9), malim, renjer hutan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta orang awam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Zaid, mangsa ditemui tidak sedarkan diri selepas kira-kira 19 jam SAR dijalankan dan disahkan meninggal dunia.

"Berdasarkan maklumat, mangsa adalah penghuni sebuah rumah kebajikan di Sungai Buloh. Mangsa dikatakan anak asnaf namun perkara itu akan disahkan polis kemudian," katanya.

Katanya, siasatan lanjut diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Sub Inspektor Mohd Yusoff Nor di talian 019-9132784.

Harian Metro terdahulu melaporkan remaja lelaki maut selepas dipercayai terjatuh gaung ketika mendaki Bukit Broga, Semenyih di sini, hari ini.

Adi Putra Effendi, 16, ditemukan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menjalankan operasi pencarian selepas menerima laporan mengenai mangsa sesat daripada penjaganya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 7:56 PM