WAN Abdullah dari Kampung Kubang Buyong memegang dua ekor lembu baka Kedah Kelantan (KK) yang terpaksa dijual mengikut harga pasaran semasa iaitu RM4,500 hingga RM5,800 seekor. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
WAN Abdullah dari Kampung Kubang Buyong memegang dua ekor lembu baka Kedah Kelantan (KK) yang terpaksa dijual mengikut harga pasaran semasa iaitu RM4,500 hingga RM5,800 seekor. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: "Bukan kami ambil kesempatan, tetapi kami terpaksa jual lembu korban pada harga lebih tinggi berbanding tahun lalu," kata Wan Abdullah Mansor.

Wan Abdullah, 55, dari Kampung Kubang Buyong antara penternak lembu baka Kedah Kelantan (KK) di negeri ini yang terpaksa menjual lembu mengikut harga pasaran semasa iaitu RM4,500 hingga RM5,800 seekor.

Katanya, penternak lembu KK terpaksa menjual lebih mahal daripada harga tahun lalu berikutan kos makanan lembu yang meningkat sejak akhir-akhir ini.

"Tahun lalu, lembu KK dijual pada harga RM4,000 seekor. Kini, lembu bersaiz sama dijual pada harga RM5,000 seekor.

"Ia seiring dengan kenaikan harga daging mentah di pasaran iaitu RM34 kepada RM38 sekilogram.

"Ramai yang mungkin beranggapan kami sengaja menaikkan harga lembu korban sedangkan kami juga tersepit dengan kos makanan yang semakin meningkat," katanya ditemui di kandang lembunya hari ini.

Wan Abdullah berkata, dia menternak lembu dan menjalankan perniagaan lembu korban sejak lebih 30 tahun lalu dan ini kali pertama dia terpaksa menjualnya pada harga tinggi akibat kenaikan harga makanan ternakan di pasaran.

"Paling murah, lembu KK boleh dijual pada harga RM2,500 hingga RM3,000 seekor tetapi lembu kecil dan kurus itu seakan tidak wajar dijadikan haiwan korban.

"Ada penternak tidak menghiraukan keadaan lembu yang kurus dan kecil kerana terlalu pentingkan keuntungan namun saya tidak sanggup berbuat demikian.

"Saya lebih rela tidak menjual lembu korban daripada menjual lembu yang bersaiz kecil dan kurus pada harga murah," katanya.

Tambahnya, lembu kurus biasanya akan diberi makan terlebih dahulu supaya gemuk sebelum dijual sebagai ternakan korban.

"Saya akui harga lembu korban memang mahal berbanding harga tahun lalu dan ia terpulang kepada pembeli.

"Harga memang tidak boleh diturunkan kerana ia sudah berada pada paras rendah mengikut pasaran semasa, " katanya.

Rakannya, Muhammad Naim Ramli, 38, dari Kampung Losong berkata, harga lembu yang meningkat menyebabkan bayaran untuk sebahagian lembu yang dikorbankan juga meningkat.

"Jika tahun lalu, harga sebahagian lembu yang dikorbankan ialah RM500 hingga RM650 tetapi sekarang, harganya RM650 hingga RM800 sebahagian, bergantung kepada saiz lembu.

"Bagi lembu sado atau lembu baka, satu bahagian dijual pada harga RM2,000 hingga RM3,500, bergantung kepada saiz lembu itu," katanya.

Menurutnya, pemilihan lembu bergantung kepada kemampuan pembeli dan kebiasaannya, lembu KK yang menjadi pilihan untuk dikorbankan pada Aidiladha.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Julai 2022 @ 1:08 PM