MOHD Amirul Ibrahim dari Kampung Che Hem, Bukit Tunggal bersama lembu baka charolais miliknya yang dijual dengan harga RM24,000 seekor. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
MOHD Amirul Ibrahim dari Kampung Che Hem, Bukit Tunggal bersama lembu baka charolais miliknya yang dijual dengan harga RM24,000 seekor. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Seorang penternak lembu sado di negeri ini mencatat rekod tersendiri apabila menjual dua lembu sado baka charolais miliknya dengan harga RM40,000 untuk dijadikan haiwan korban pada Aidiladha tahun ini.

Dua ekor lembu baka charolais seberat 1,300 kilogram (kg) dan 1,000kg itu dibeli Abdul Malek Ramlan, 57, dari Sepang, Selangor, hari ini.

Penternak terbabit, Mohd Amirul Ibrahim, 35, dari Kampung Che Hem, Bukit Tunggal berkata, dia tidak menjangka dua lembu baka dibela sejak awal 2020 itu terjual pada harga berkenaan.

"Masing-masing berharga RM24,000 dan RM16,000 seekor menjadikan jumlah keseluruhan jualan RM40,000.

"Tahun lalu saya menjual lembu sado dengan harga RM30,000 untuk dua ekor, tetapi pada tahun ini harga jualan semakin meningkat.

"Jika ikutkan harga pasaran lembu charolais jantan dewasa berharga RM12,000 hingga RM16,000 sahaja, tetapi lembu milik saya dibeli mahal kerana saiznya terlalu besar," katanya ketika ditemui di kandang lembunya, di sini.

Menurutnya, harga jualan lembu charolais jantan sebanyak RM24,000 itu bukan sahaja mencatat jualan tertinggi peribadi, tetapi menjadi jualan termahal lembu baka sado di Terengganu.

Katanya, jika lembu baka betina dijual pada harga RM20,000 ke atas itu sudah biasa kerana harga pasarannya memang tinggi.

"Tetapi apabila berjaya menjual lembu baka jantan pada harga RM20,000 ke atas, ia memang satu rekod jualan lembu baka jantan tertinggi di negeri ini.

"Sebelum ini, saya lembu sado charolais berusia tujuh bulan kepada pembeli sama dengan harga RM6,200 untuk diternak.

"Memang berbaloi menternak lembu sado kerana keuntungan diperoleh berlipat kali ganda berbanding lembu biasa," katanya.

Menurutnya, harga makanan lembu meningkat daripada RM43 untuk 50kg pada April lalu kepada RM53 sekarang dan seekor lembu sado memerlukan 15 hingga 20kg makanan sehari bergantung kepada saiz.

Katanya, pantang utama lembu baka adalah tidak cukup makan kerana berat dan saiznya akan terjejas teruk, sekali gus mengalami susut nilai apabila ingin dijual.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 2:56 PM