MOHD Amirul dari Kampung Che Hem, Bukit Tunggal bersama lembu baka belgian blue yang dijual RM25,000 seekor. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
MOHD Amirul dari Kampung Che Hem, Bukit Tunggal bersama lembu baka belgian blue yang dijual RM25,000 seekor. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Walaupun ketetapan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan ibadah korban belum ditetapkan di beberapa negeri, jualan lembu korban tetap laris seperti tahun sebelumnya.

Selain lembu baka kampung, lembu sado seperti charolais, limosin, blonde dan belgian blue turut terjual untuk ibadah korban.

Penternak, Mohd Amirul Ibrahim, 35, dari Kampung Che Hem, Bukit Tunggal berkata, beliau menjual 70 ekor lembu kampung untuk ibadah korban pada tahun ini.

"Terbaru saya baru sahaja menjual lembu baka belgian blue seberat 1,200 kilogram (kg) pada harga RM25,000 seekor.

"Sebelum itu dua ekor lembu baka charolais seberat 1,000 kg ke atas pada harga RM40,000 sudah dijual untuk tujuan sama," katanya ketika ditemui di kandang lembunya, di sini, hari ini.

Menurutnya, lembu korban berharga RM4,000 hingga RM5,000 seekor bergantung kepada saiz dan dihantar ke beberapa negeri.

"Selepas Ramadan, lebih 30 lembu korban sudah dihantar ke Selangor dan Melaka.

"Manakala 40 ekor lembu korban lagi dijual di seluruh daerah di negeri ini," katanya.

Beliau berharap ibadah korban boleh dijalankan di negeri ini seperti tahun lalu.

"Kami tidak kisah menjalankan ibadah korban itu walaupun perlu mengikuti SOP yang lebih ketat asalkan ibadah korban itu boleh dijalankan," katanya.

Bercerita mengenai lembu baka belgian blue yang dijual, katanya, lembu baka berusia tiga tahun empat bulan itu dibeli oleh seorang penternak di Selangor.

"Lembu yang dipanggil Jimbo itu dianggarkan mempunyai jumlah daging sebanyak 500 kg apabila dikorbankan.

"RM3,000 ke atas harga untuk sebahagian lembu itu sekiranya ia dibuka kepada orang ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 1:59 PM