PEARLY dan Thinaah tewas dalam masa 35 minit.
PEARLY dan Thinaah tewas dalam masa 35 minit.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah gagal meneruskan perjuangan ke pusingan seterusnya apabila tewas di pusingan pertama di Terbuka Singapura, hari ini.

Dalam perlawanan di Stadium Tertutup Singapura, pilihan ketiga kejohanan dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning hanya memerlukan 35 minit sahaja untuk menghantar pulang Pearly-Thinaah dengan straight set, 21-10, 21-10.

Dengan keputusan itu, pasangan negara yang dalam persiapan ke Sukan Olimpik Paris perlu bangkit secepat mungkin agar mereka dapat semula rentak serta momentum terbaik memandangkan kejohanan itu semakin hampir.

Terdahulu, pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao meneruskan kemaraan ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain ranking ke-28 dunia dari Jepun, Kanta Tsuneyama 21-13, 21-16 manakala beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut ke pusingan seterusnya apabila menewaskan gandingan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han 21-18, 21-13.

Turut melangkah mara beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang menewaskan rakan seperjuangan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin 21-15, 21-17 dalam tempoh 30 minit untuk mengatur pertemuan dengan gandingan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje di pusingan kedua.

Bagi Tang Jie, dia dan pasanganya ingin memastikan mereka dapat meneruskan momentum kemenangan itu ke pusingan seterus dan menyedari bakal berhadapan perlawanan yang sengit.

"Mereka pasangan sangat kuat. Mereka menjadi pemenang tahun lepas di sini, jika saya tidak silap. Bagi saya, saya sangat yakin dengan pasangan saya dan kita boleh lakukannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 6:47 PM