Shila Amzah
Shila Amzah

 

Kuala Lumpur: Penyanyi Shila Amzah, 34, mungkin bakal kembali bekerja sebelum habis berpantang termasuk menjayakan tawaran di luar negara.

Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Hamzah berkata jadualnya bukanlah terlalu padat dan masih boleh berehat dalam tempoh bekerja itu.

"Saya perlu bekerja selepas habis 44 hari berpantang, mungkin juga tak sempat habis pantang. Ada baki dua hari lagi sebelum selesai pantang.

"Tapi saya tidaklah kerja setiap hari, ada jarak hari dan masa. Ada yang perlu ke China dan Hong Kong juga," katanya.

Penyanyi Memori Tercipta itu bagaimanapun menekankan akan menjaga rapi kesihatannya termasuk mendapatkan rehat cukup.

Shila selamat melahirkan cahaya mata perempuan seberat 2.84 kilogram di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, awal bulan ini.

Shila dan suaminya Ubai atau Muhammad Ubaidilillah Mohd Zulkefli, 26, memilih nama Rhea Akira untuk bayi mereka yang membawa maksud kemenangan dan terang.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos tahun lalu. Sebelum itu, Shila pernah berkahwin dengan Haris Edraki pada 2018 namun hubungan mereka berakhir dengan penceraian.

Hasil perkahwinan terdahulu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Seth Uwais yang kini berusia lima tahun.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 9:04 PM