Zuliaty Zulkiffli


Kuala Kedah: "Alhamdulillah, segala-galanya sudah selesai dan kami sudah menjadi suami isteri yang sah.

"Lepas ni tutup buku lama... buka buku baru dan saya mengharapkan seluruh rakyat Malaysia mendoakan yang terbaik untuk kami dan tidak menceritakan perihal buruk kami," kata Mohd Azlan Ishak, 36.

Mohd Azlan selamat bernikah dengan pasangannya, Norhidayu Halim, 35, oleh Imam Masjid Al Maarufi, Muhammad Hazamer Mualim pada jam 6 petang hari ini.

Menurutnya, dia memohon maaf kepada semua dan mengharapkan sokongan daripada kawan-kawan untuk membantu kerana ini perkahwinan pertamanya dan kedua buat Norhidayu.

"Saya sudah ada tanggungjawab sebagai suami dan akan terus tinggal di rumah ibu saya di Taman Kota Nelayan, di sini dan menjalani kehidupan seperti biasa," katanya ketika ditemui selepas selesai akad nikah berlangsung hari ini.

MOHD Azlan dan Norhidayu selamat dinikahkan di Masjid Al-Maarufi, hari ini. FOTO Wan Nabil Nasir
MOHD Azlan dan Norhidayu selamat dinikahkan di Masjid Al-Maarufi, hari ini. FOTO Wan Nabil Nasir

Turut hadir menyaksikan pernikahan itu, bapa Norhidayu, Halim Saad, 64, dan ibunya, Che Ma Sebawai, 59, serta sanak saudara dan kenalan.

Sementara itu, Norhidayu berkata, wang sumbangan yang diterima daripada orang ramai itu akan digunakan sepenuhnya untuk kos rawatan anaknya, Mohd Aariz Zafran, 11 bulan selain membeli barangan keperluan hariannya.

Katanya, wang itu juga akan digunakan untuk membeli alat pernafasan baru untuk anaknya yang menghidap paru-paru kronik.

"Saya sudah menempah alat pernafasan baru untuk Mohd Aariz kerana yang sedia dipakainya itu sudah rosak.

"Alat pernafasan Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) yang lama itu adalah hasil sumbangan daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berharga RM7,800 sebuah dan apabila ia rosak, kami terpaksa membelinya sendiri.

"Malah kami juga bercadang untuk menyediakan bilik dengan kemudahan pendingin hawa untuknya kerana selama ini dia tidak boleh panas," katanya.

Norhidayu berkata, dia agak tertekan apabila terbaca komen di laman sosial sehinggakan tidak berselera makan selama empat hari.

Katanya, keadaan itu menyebabkan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) datang ke rumahnya untuk memberi kaunseling kepadanya supaya tidak melakukan sesuatu yang di luar jangkaan.

Sementara itu, Pengerusi Qariah Masjid Seberang Kota, Muhammad Hazamer Mualim berkata, beliau mewakili pihak jawatankuasa qariah masjid itu lega dengan usaha yang dilakukan oleh Mohd Azlan.

Beliau berkata, sebelum ini Mohd Azlan pernah hadir ke pejabatnya di masjid ini untuk meminta bantuannya dan bersedia untuk membantu mengisi borang pernikahan mereka.

"Dan semalam, dia hadir bersama bakal bapa mentuanya untuk mengisi borang pernikahan secara dalam talian dan siap cetak di sini.

"Hari ini semuanya sudah selesai dan mereka selamat dinikahkan namun saya nasihatkan supaya Mohd Azlan menguruskan nasab berkaitan anaknya itu di pejabat agama dengan segera," katanya.

Media sebelum ini melaporkan pasangan itu ditular selepas membawa anaknya, Mohd Aariz Zafran, 11 bulan yang memakai alat pernafasan menaiki motosikal ke hospital sehingga mendapat simpati orang ramai.

Selain paru-paru kronik, Mohd Aariz turut menghidap penyakit gastrik angin dan limfa besar.

Kepayahan hidup yang mereka lalui mendapat simpati daripada orang ramai termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain, itu pasangan itu turut menerima sebuah kereta Proton Persona hasil pemberian pemilik sebuah kereta terpakai di Jalan Langgar untuk kegunaan mereka ke hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 7:50 PM