Hamidin Yahaya (tengah, duduk) menunjukkan keputusan peperiksaan SPM bagi subjek Sains kepada rakannya. FOTO AIZAT SHARIF
Hamidin Yahaya (tengah, duduk) menunjukkan keputusan peperiksaan SPM bagi subjek Sains kepada rakannya. FOTO AIZAT SHARIF
Aizat Sharif


Padang Besar: Walaupun berusia 59 tahun, ia bukan penghalang buat Hamidan Yahaya untuk menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2023 malah berjaya memperoleh keputusan B+ bagi subjek Sains.

Hamidan yang bertugas sebagai pemandu awam di Kem 504 Askar Wataniah, Chuping adalah calon persendirian dan tahun ini adalah kali kedua dia berbuat demikian.

Kali pertama di menduduki SPM adalah pada 2022 dengan mengambil subjek Matematik dan mendapat keputusan A.

"Kali terakhir saya menduduki SPM pada zaman persekolahan adalah pada 1982. Ramai bertanya apa tujuan saya berbuat demikian sedang diri makin dimamah usia.

"Saya mahu dijadikan contoh kepada anak cucu bahawa diri ini masih mahu menimba ilmu walaupun sudah berusia.

"Kejayaan mendapat B+ dalam subjek Sains ini adalah suatu yang di luar jangkaan kerana hanya belajar sendiri dengan menggunakan buku dibeli anak selain kerap buat latihan. Tugasan harian menyebabkan saya sukar menghadiri kelas," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Hamidan berkata, dia menelaah pelajaran pada waktu tengah malam di kediamannya di Jejawi, Arau kerana waktu lain agak sukar disebabkan tugasan serta suasana rumah yang sentiasa meriah dan riuh dengan kehadiran anak dan cucunya.

"Saya lebih senang untuk mengambil setiap subjek secara berperingkat setiap tahun kerana agak sukar juga untuk saya memfokuskan banyak subjek dalam setahun.

"Apa yang membanggakan adalah isteri dan anak tidak pernah menghalang atau memperlekehkan hasrat saya untuk menduduki semula SPM.

"Malah mereka terus menggalakkan saya untuk belajar kembali kerana bagi mereka ini adalah usaha murni dalam memperbaiki diri dalam bidang akademik.

"Semasa SPM 1982 dahulu, saya hanya memperoleh Pangkat Tiga namun saya berjaya mendapat A dalam subjek Pendidikan Islam.

"Disebabkan itu saya rasa inilah masa untuk memperbaiki kembali keputusan subjek yang lemah ketika itu," katanya yang juga bekas anggota tentera tidak berpencen yang pernah berkhidmat dengan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM).

Ditanya adakah sukar untuk mengikuti kembali sukatan pelajaran Sains yang baharu berbanding pada 1982, Hamidan berkata dia masih mampu untuk mengikut keadaan sukatan pengajian baharu disebabkan dia dahulunya adalah seorang pelajar aliran Sains di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Alwi, Kangar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 7:03 PM