GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: "Jangan ambil gambar, itu bos kami." Demikian kata yang dilemparkan kepada petugas media yang dihalang merakam gambar pengarah urusan syarikat hartanah yang dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini untuk permohonan reman berkaitan siasatan kes penyelewengan tanah rizab Melayu.

Tidak sekadar kata-kata itu, malah gesaan sedemikian yang diberikan beberapa individu dipercayai peguam dan pengawal peribadi orang kena siasat (OKS) berusia 44 terbabit turut disusuli perbuatam cubaan menutup lensa kamera petugas media dengan tangan dan badan.

Kekecohan 11.45 pagi tadi berlaku apabila peguam dan pengawal OKS meminta supaya mereka diberikan laluan dengan menolak jurugambar yang mahu menjalankan tugas, dengan situasi itu terjadi ketika OKS dibawa keluar dari pekarangan mahkamah menuju ke kenderaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Susulan kekasaran terhadap pengamal media itu, satu laporan dibuat oleh pengamal media yang terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh berhubung kejadian itu.

Sementara itu, permohonan reman terhadap OKS dibenarkan oleh Majistret Mahkamah Ipoh selama empat hari terhadap pengarah berkenaan bagi membantu siasatan kes pemecahan lot membabitkan kira-kira 650 hektar Tanah Rizab Melayu di Mukim Manjung.

Perintah reman bermula hari ini sehingga Jumaat itu ditetapkan oleh Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus selepas membenarkan permohonan dibuat SPRM.

Lelaki berusia 44 itu ditahan kira-kira 7 malam tadi ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Perak, di sini dengan siasatan awal mendapati suspek dipercayai membayar wang rasuah kepada seorang penjawat awam di pejabat tanah di sebuah negeri dengan tujuan mengubah status tanah rizab Melayu kepada bukan rizab Melayu yang menyebabkan pemecahan lot sempadan di mukim berkenaan, mengakibatkan ia seterusnya dipindah milik kepada syarikat dan individu bukan Melayu.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki itu dan berkata, kes disiasat mengikut Akta 16 (b) (B) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 7:04 PM