KIRA-kira 300 kambing dan biri-biri yang diimport dari Australia, Myanmar dan Thailand oleh Ladang Ternak Haji Kassim.
KIRA-kira 300 kambing dan biri-biri yang diimport dari Australia, Myanmar dan Thailand oleh Ladang Ternak Haji Kassim.
NIK Mohd Zamri (kiri) mencatat nama pelanggan yang menempah ternakan korban.
NIK Mohd Zamri (kiri) mencatat nama pelanggan yang menempah ternakan korban.
ANGGOTA JPV memeriksa kambing sebelum dijual untuk dijadikan korban.
ANGGOTA JPV memeriksa kambing sebelum dijual untuk dijadikan korban.
SHEIKH Gaddafi bersama ternakan kambing yang sedia dijual untuk korban.
SHEIKH Gaddafi bersama ternakan kambing yang sedia dijual untuk korban.

Selama empat hari bermula Isnin ini, umat Islam di Malaysia akan menyembelih ternakan terutama lembu, kerbau, kambing dan biri-biri bagi menunaikan ibadat korban.

Bagi memenuhi syarat penyembelihan haiwan korban, lembu, kerbau dan kambing berkenaan mestilah berusia dua tahun ke atas, manakala biri-biri setahun. Haiwan berkenaan juga perlu dipastikan tidak cacat.

Persoalannya, bagaimanakah cara untuk memastikan haiwan berkenaan sudah cukup umur?

Pengurus Ladang Ternak Haji Kassim di Kampung Pandan Dalam Satu, Kuantan, Nik Mohd Zamri Nik Jid berkata, beberapa kriteria penting akan dirujuk bagi memastikan ternakan itu sudah matang dan boleh dikorbankan.

Ini termasuk berdasarkan gigi ternakan itu yang makin renggang, besar atau sudah berganti.

“Di ladang kami, setiap ternakan ditanda selepas dilahirkan sebelum direkodkan. Ini pastinya memudahkan kami menentukan umur ternakan terbabit untuk tujuan korban atau akikah.

Katanya, sebelum urusan jual beli dilakukan, pembeli juga boleh melihat dan memeriksa ternakan itu untuk mengesan sama ada terdapat kecacatan.

Beliau berkata, pihaknya sudah menerima tempahan kambing dan biri-biri daripada umat Islam yang hendak melakukan ibadah korban.

Menurutnya, ketika ini ada 120 biri-biri baka Damara dari Australia dan 50 kambing baka Boer dari Myanmar dan Thailand sedia dijual untuk ibadah korban, selain 100 biri-biri bakal dibawa masuk dari Australia.

“Kebiasaannya permintaan meningkat mendadak beberapa hari sebelum Aidiladha dan saya berusaha penuhi permintaan pelanggan,” katanya.

Nik Mohd Zamri berkata, harga kambing dan biri-biri adalah sama iaitu di antara RM750 hingga RM1,300 seekor bergantung kepada umur dan saiz.

“Pelanggan boleh pilih sendiri haiwan korban dan setiap ternakan yang ditempah akan ditanda dengan rantai bernombor bagi mengelak kekeliruan.

“Selain itu, ada juga yang terus membawa pulang kambing atau biri-biri yang hendak dikorbankan beberapa hari sebelum Aidiladha,” katanya.

Katanya, kebanyakan proses penyembelihan untuk ibadah korban dilakukan di pusat penyembelihan ladang berkenaan dan orang ramai mula memenuhi kawasan itu selepas selesai solat sunat Aidiladha.

Ditunggu setiap penternak

Sementara itu, penternak lembu di Alor Pongsu, Bagan Serai, Perak, Katirin Samirun 63, berkata, musim Hari Raya Korban memang ditunggu setiap penternak berikutan ternakan mereka laris untuk ibadah korban.

Menurutnya, sehingga minggu lalu, lebih separuh daripada 30 lembu diternaknya yang mencapai usia matang ditempah pelanggan.

“Kebanyakan pelanggan memilih lembu daripada baka kampung, tapi ada juga mahu baka susu dan baka Brahman.

“Harga lembu matang berusia tiga tahun ke atas di antara RM3,800 hingga RM7,000 bergantung kepada saiznya,” katanya.

Katirin berkata, semua lembu peliharaannya ditanda Jabatan Veterinar daerah bagi memudahkan pihak terbabit menjalankan pemeriksaan kesihatan.

“Setiap tahun, dua atau tiga kali lembu saya diperiksa jabatan berkenaan bagi memastikannya bebas penyakit sebelum dijual. Tag bernombor yang dilekatkan pada telinga lembu memudahkan saya mengenali ternakan jika terlepas dari kandang, selain dapat mengetahui umurnya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penternak Ruminan Negeri Terengganu (PPRNT) Sheikh Gaddafi Sheikh Mohd Nasir berkata, 30 penternak kambing mengusahakan kegiatan berkenaan secara komersial di negeri itu dan memiliki jumlah ternakan melebihi 100 ekor setiap seorang.

“Bekalan kambing di Terenggau memang memenuhi pasaran, tapi kebergantungan kami terhadap kambing luar masih ada.

“Berikutan itu, PPRNT menyasarkan dalam tempoh tiga tahun lagi, semua kambing untuk pasaran tempatan bagi tujuan daging atau korban hanya menggunakan kambing diternak penternak tempatan,” katanya.

Beliau berkata, harga kambing bergantung pada pasaran semasa mengikut baka dan saiz.

“Secara purata seekor kambing baka yang dikacukkan di antara kambing Katjang (kambing kampung) dengan kambing Jamnapari atau Anglo Nubian ialah RM700 ke atas.

“Kebiasaannya berat kambing kacukan lebih 30 kilogram (kg) berbanding kambing Katjang asli hanya 18 hingga 20 kg yang dijual RM550 hingga RM600 seekor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2016 @ 7:50 AM