Pasangan Muhammad Rabbani dan Nur Izzati sentiasa mengamalkan bertolak ansur antara satu sama untuk mengekalkan kebahagiaan. FOTO Husain Jahit
Pasangan Muhammad Rabbani dan Nur Izzati sentiasa mengamalkan bertolak ansur antara satu sama untuk mengekalkan kebahagiaan. FOTO Husain Jahit
Husain Jahit


Makkah: Ketika banyak pasangan baru berkahwin memilih lokasi romantis dengan pemandangan indah untuk berbulan madu, tetapi tidak bagi pasangan muda Muhammad Rabbani Roslan, 27, dengan Nur Izzati Thaqifah Samsol Bahari, 25, yang menjadikan Tanah Suci Makkah dan Madinah sebagai destinasi.

Pasangan yang berkahwin pada September tahun lalu itu, mengambil keputusan untuk menangguhkan bulan madu mereka kerana isteri melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (USM), hinggalah isteri menerima tawaran kali ketiga untuk menunaikan haji daripada Tabung Haji pada tahun ini.

"Saya mendapat tawaran pertama ketika wabak Covid-19 dan kemudian dapat semula pada 2022 tetapi saya minta tangguh kerana hendak mendirikan rumah tangga. Alhamdulillah pada tahun ini dapat lagi tawaran," katanya kepada Petugas Media Tabung Haji, pada majlis perasmian Sahabat Maktab, di sini baru-baru ini.

Perasmian disempurnakan oleh Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman yang turut dihadiri Pengurus-pengurus Maktab dan Petugas-petugas Haji.

Menurut Nur Izzati, apabila dia mendapat tawaran haji, dia berbincang dengan suami yang kemudiannya turut bersetuju untuk membuat rayuan sebagai mahram.

"Alhamdulillah, suami pun memang ada simpanan sejak kecil, walaupun ketika melangsungkan perkahwinan tempoh hari kami banyak menggunakan wang simpanan," katanya lagi.

Menurut Muhammad Rabbani seorang Jurutera Teknologi Maklumat di sebuah agensi kerajaan, ketika berkahwin tempoh hari memang banyak pakai duit simpanan sampaikan dia terfikir adakah cukup untuk pergi haji nanti.

"Namun, saat akhir, rezeki Allah datangkan dan alhamdulillah duit cukup dan terus bayar," kata pasangan muda yang turut menjadi Sahabat Maktab 83.

Kedua pasangan ini masing-masing menjadikan ibu mereka sebagai idola kerana sewaktu mereka mengerjakan haji dulu turut pernah menjadi Sahabat Maktab kepada jemaah lain yang memerlukan khidmat mereka.

"Ibu berpesan, nanti kalau jadi Sahabat Maktab, lagi-lagi ketika Masyair iaitu di Arafah Musdalifah dan Mina, itulah cabaran yang sebenar. Macam-macam perkara boleh berlaku. Banyak bersabar dan beristighfar ketika membantu jemaah lain," katanya.

Tiga beradik Adam, Edrish dan Nouh sangat akrab dan sentiasa ceria ke mana-mana sentiasa bersama. FOTO Husain Jahit
Tiga beradik Adam, Edrish dan Nouh sangat akrab dan sentiasa ceria ke mana-mana sentiasa bersama. FOTO Husain Jahit

Sementara tiga beradik Muhammad Adam Aiman Mohd Amizul Fazley, 21, Muhammad Edrish Ell-Fateh, 17, dan Muhammad Nouh Ebdansyakur, 15, dari Kelantan rasa sangat bersyukur kerana dapat menjadi Duyufurrahman pada usia muda.

Walaupun tanpa kelibat kedua orang tua mereka ini, tiga beradik ini yang sentiasa kelihatan ceria ini, pandai menjaga diri selain turut ringan tulang dengan membantu jemaah yang lebih berusia dalam kalangan warga emas dengan menolak kerusi roda untuk ke masjid.

"Mama papa pun ada pesan untuk selalu bantu orang tua apabila tunai haji, " kata Muhammad Adam selaku anak sulung yang juga penuntut Universiti Malaysia Pahang.

Disebabkan itu juga, katanya mereka bertiga memilih untuk menyertai Sahabat Maktab, salah satu inisiatif bagi membantu jemaah lain kerana selain dapat menolong lebih ramai orang dengan kudrat muda yang ada, mereka juga dapat mengeratkan silaturahim dengan jemaah lain selain mengumpul lebih banyak pahala.

"Memang kami bertiga selalu bantu orang sebelum ini, jadi apabila dengar ada Sahabat Maktab, kami bertiga bincang dan sertai untuk membolehkan kami tolong lebih ramai lagi. Selain itu, kami juga boleh eratkan hubungan silaturahim dengan jemaah yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 8:12 PM