Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) kini dalam lawatan rasmi pertamanya ke China. FOTO BERNAMA
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) kini dalam lawatan rasmi pertamanya ke China. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Beijing: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di sini hari ini untuk destinasi terakhir dalam lawatan rasmi beliau ke China.

Ketibaan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu, yang diiringi isteri beliau Datin Seri Hamidah Khamis pada kira-kira 4.30 petang (waktu tempatan) disambut oleh Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad.

Ini adalah lawatan rasmi pertama Ahmad Zahid ke China sejak beliau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada Disember 2022 dan ia atas jemputan Naib Perdana Menteri China Ding Xuexiang.

Ahmad Zahid tiba di ibu negara China itu selepas memulakan lawatan beliau ke republik berkenaan di Hong Kong pada 22 Mei lepas diikuti Shenzhen dan Shanghai.

Di Beijing, beliau dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri China Li Qiang selain mengadakan perbincangan dengan Xuexiang dan Penasihat Negara serta Menteri Keselamatan Awam Wang Xiaohong.

Ahmad Zahid juga akan menjadi tuan rumah bagi Resepsi Gala dan menghadiri Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Penubuhan Hubungan Diplomatik Malaysia-China anjuran bersama Persatuan Persahabatan Rakyat China dengan Negara Asing (CPAFFC) dan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing.

Semasa lawatan Ahmad Zahid di Shanghai semalam, beliau menyaksikan permeteraian kerjasama antara MARA Corporation dengan dua syarikat gergasi China bagi meneroka perniagaan bidang baharu khususnya tenaga boleh diperbaharui, baik pulih dan penyelenggaraan bas elektrik serta penyimpanan tenaga suria dan bateri.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara itu turut menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Komuniti dan Pelajar Malaysia di Shanghai pada Ahad lepas.

Beliau juga melawat ibu pejabat Huawei selain menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Komuniti dan Pelajar Malaysia di Shenzhen semasa berkunjung ke wilayah itu manakala di Hong Kong, Ahmad Zahid mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong John Lee Ka-chiu.

Lawatan rasmi selama 11 hari itu turut disertai Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin.

Sebelum ini, Wisma Putra memaklumkan lawatan Ahmad Zahid adalah bagi memperkukuh hubungan dua hala dan beliau dijangka meneroka peluang kerjasama terutama dalam bidang pendidikan yang memfokus kepada TVET, pembangunan industri halal serta pertukaran antara rakyat.

Malaysia dan China menjalin hubungan dua hala secara rasmi pada 31 Mei 1974 dan ini adalah lawatan pertukaran pemimpin tertinggi masing-masing sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Pada 2023, jumlah dagangan dengan China bernilai RM450.84 bilion (AS$98.80 bilion), menyumbang 17.1 peratus daripada jumlah dagangan global Malaysia dan semasa tahun yang sama.

Sejumlah 64 projek perkilangan diluluskan dengan pelaburan berjumlah RM12 bilion (AS$2.6 bilion).

China berada di kedudukan kelima sebagai pelabur terbesar dan projek terbabit dijangka mewujudkan 9,305 pekerjaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 9:04 PM