Sebuah van ditahan selepas disyaki digunakan untuk mengangkut murid sekolah tanpa permit sah. FOTO ihsan JPJ.
Sebuah van ditahan selepas disyaki digunakan untuk mengangkut murid sekolah tanpa permit sah. FOTO ihsan JPJ.
Ahmad Hasbi


Seremban: Masih terdapat segelintir pengusaha bas sekolah di daerah ini yang menjalankan perkhidmatan mengangkut murid sekolah menggunakan kenderaan tanpa permit sah.

Ada yang berani melakukan perbuatan itu dengan menggunakan kereta, selain taktik sama sebelum ini iaitu mengecat van dengan warna jingga menyerupai bas sekolah tanpa tulisan 'bas sekolah' pada badan kenderaan.

Perkara itu dikesan dalam satu operasi yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di daerah ini, Jumaat lalu.

Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata, dalam operasi berkenaan, pihaknya mengesan dua kenderaan yang melakukan kesalahan itu, sebelum pihaknya mengeluarkan saman selepas membuat pemeriksaan lanjut.

"Hasil pemantauan berterusan yang dibuat JPJ Negeri Sembilan di sekitar Seremban, mendapati masih ada pemandu atau pemilik kenderaan persendirian yang melanggar undang-undang dengan menjadikan kenderaan persendirian sebagai fungsi bas sekolah tanpa permit sah.

"Berikutan itu, mereka dikenakan tindakan saman mengikut Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 mengikut seksyen yang sama," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pihaknya melakukan tindakan penguatkuasaan berterusan ke atas kenderaan persendirian atau van persendirian yang menjalankan perkhidmatan membawa murid sekolah tanpa permit sah.

"Peringatan berterusan sentiasa diberikan kepada mereka bahawa setiap kenderaan yang digunakan sebagai fungsi bas sekolah hendaklah dilesenkan secara sah dan mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat (Apad) 2010," katanya.

Tambah beliau, operasi oleh kenderaan persendirian sebegini masih aktif walaupun pihaknya sudah melakukan beberapa operasi sebelum ini disebabkan terdapat permintaan daripada ibu bapa.

"Ibu bapa dinasihatkan supaya memainkan peranan masing-masing dengan mendapatkan perkhidmatan bas sekolah yang mempunyai permit yang sah untuk menghantar anak mereka ke sekolah supaya keselamatan mereka lebih terjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2022 @ 9:54 AM