ANGGOTA penguat kuasa JPJ membuat pemeriksaan van sekolah pada operasi di Seremban, semalam. FOTO arkib NSTP
ANGGOTA penguat kuasa JPJ membuat pemeriksaan van sekolah pada operasi di Seremban, semalam. FOTO arkib NSTP
Mohd Amin Jalil


Seremban: Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Negeri Sembilan (PPBSNS) sedia membantu pengusaha van sekolah di negeri ini mendapatkan permit yang sah untuk beroperasi.

Pengerusinya, Mohd Rofik Mohd Yusof berkata, pihaknya tiada halangan untuk membantu pengusaha berkenaan dengan syarat mereka bersedia menjadi ahli persatuan itu.

Katanya, tindakan mereka membawa kenderaan tanpa permit seolah-olah memperjudikan keselamatan pelajar.

"Saya dimaklumkan mengenai beberapa pengusaha van sekolah dikesan beroperasi tanpa permit sah selepas pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan menjalankan pemantauan di sekitar Seremban, semalam.

"Saya dapati mereka ini bukan ahli persatuan kami, dan tindakan mereka beroperasi tanpa permit adalah salah dari segi undang-undang ditetapkan.

"Namun begitu kami boleh membantu untuk mendapatkan permit, tapi mereka perlu tampil ke hadapan dengan menyertai persatuan ini dan segala urusan permohonan mendapatkan permit itu akan diuruskan," katanya di sini, hari ini.

Beliau yang juga Presiden Gabungan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) mengulas mengenai operasi van sekolah haram yang dilakukan JPJ Negeri Sembilan di sini, semalam.

Dalam operasi itu, agensi penguatkuasaan berkenaan mengesan 16 van sekolah didapati beroperasi tanpa permit sah.

Mohd Rofik berkata, van sekolah yang beroperasi tanpa permit tidak dilindungi insurans dan kenderaan itu berstatus persendirian.

Menurutnya, antara prosedur yang perlu dilakukan pengusaha ialah membuat permohonan permit bas sekolah ditetapkan Angkatan Pengangkutan Awam Darat (APAD) selain memiliki lesen kenderaan motor perdagangan.

"Kenderaan yang digunakan perlu membuat pemeriksaan berkala enam bulan sekali dengan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom)," katanya.

Beliau berkata, pengusaha van sekolah berkenaan perlu bertanggungjawab kerana ia membabitkan nyawa pelajar yang menggunakan perkhidmatan itu.

"Saya juga menasihatkan ibu bapa agar mempunyai kesedaran dari aspek keselamatan anak dengan memilih perkhidmatan bas sekolah yang mempunyai permit sah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 12:00 PM