Ahmad Hasbi


Seremban: Sanggup gadaikan nyawa dan keselamatan kanak-kanak demi mengaut keuntungan. Itu kesalahan yang dikesan dilakukan pengusaha van sekolah yang 'mengangkut' murid sekolah tanpa permit.

Malah, demi mengaburi mata pihak berkuasa dan ibu bapa, bas sekolah haram ini dikesan mengecat kenderaan mereka berwarna kuning menyerupai bas sekolah biasa tanpa pelekat tulisan 'Bas Sekolah'.

Lebih dibimbangi kenderaan itu ternyata tidak pernah menjalani pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Anggota penguatkuasa JPJ melakukan pemeriksaan ke atas bas sekolah pada operasi bas sekolah tanpa permit di sekitar Seremban. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Anggota penguatkuasa JPJ melakukan pemeriksaan ke atas bas sekolah pada operasi bas sekolah tanpa permit di sekitar Seremban. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, kesalahan itu dikesan pihaknya dalam Ops Khas Bas Sekolah Tanpa Permit di sekitar daerah ini, hari ini.

"Sepanjang pemerhatian dan risikan dilakukan sejak 18 November lalu, sebanyak 16 kenderaan dikenal pasti beroperasi tanpa permit sah.

"Antara kesalahan boleh dikenakan kepada mereka yang beroperasi tanpa permit ini adalah salah guna cukai jalan yang menggunakan cukai jalan persendirian untuk kenderaan pengangkutan awam.

"Terdapat juga kenderaan ini tidak mempunyai perlindungan insurans. Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 90(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika ditemui dalam operasi berkenaan, hari ini.

Hasil pemantauan wartawan di lokasi juga, terdapat van sekolah yang mengambil murid melebihi kapasiti dibenarkan dan bersesak-sesak umpama tin sardin.

Mengulas lanjut, Hanif Yusabra berkata, antara alasan popular yang diberikan pemandu van tanpa permit ini adalah kos untuk memulakan operasi bas sekolah yang mahal bagi memenuhi spesifikasi keselamatan dan permohonan permit.

"JPJ Negeri Sembilan memandang serius kesalahan membabitkan pengusaha bas haram ini kerana memberi risiko kepada murid dan pihak kami akan melaksanakan operasi ini secara berterusan sehingga semua pengusaha akur," katanya.

Harian Metro pada 13 Oktober lalu melaporkan selepas terkurung di dalam sebuah van selama tiga jam, seorang kanak-kanak perempuan autisme ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.

Kejadian di hadapan rumah seorang pemandu van di Bandar Sri Sendayan, di sini. Pemeriksaan mendapati van berkenaan tidak mempunyai permit sah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 10:20 PM