Zailani Hashim
Zailani Hashim
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan memilih perkhidmatan kenderaan pelancongan yang sah bagi mendapatkan perlindungan insuran sekiranya berlaku kemalangan.

Pada masa sama, Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata pihaknya juga bertegas kepada semua pengusaha perkhidmatan kenderaan pelancongan untuk mematuhi undang-undang yang sudah digariskan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

Dalam hal itu, katanya, JPJ akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mengambil kesempatan melanggar peraturan dan meningkatkan pemantauan kenderaan termasuk van serta bas pelancongan di seluruh negara.

"Hasil semakan pangkalan data APAD, sebanyak 5,290 buah kenderaan (bas pelancongan) berdaftar di bawah APAD bagi menjalankan perkhidmatan kenderaan pelancongan.

"Bagaimanapun, terdapat segelintir pengusaha yang menjalankan perkhidmatan kenderaan pelancongan tanpa permit yang sah.

"Selain itu adalah ditegaskan pemandu warga asing memang tidak dibenarkan untuk memandu kenderaan pelancongan.

"Seperti yang kita sedia maklum, Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) hanya dikeluarkan kepada warganegara Malaysia yang sudah cukup syarat ditetapkan," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Persatuan Pemandu Van Malaysia baru-baru ini yang dilaporkan berkata persatuan itu mendapati bahawa banyak van persiaran tanpa permit di pasaran untuk membawa penumpang.

Pengerusi persatuan itu, Simon Sim berkata tambahan pula sebahagian daripada pemandu adalah warga asing yang disyaki tidak mempunyai lesen memandu dan permit yang sah.

Simon turut menyeru pengguna tidak memilih perkhidmatan semata-mata berdasarkan harga yang murah, malah aspek keselamatan juga perlu dititikberatkan.

Sehubungan itu, beliau juga menggesa penguatkuasa seperti APAD dan JPJ lebih kerap melakukan rondaan di kawasan 'hotspot' seperti di lapangan terbang dan Genting Highlands.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 5:09 PM