ANTARA pemandu van yang ditahan. FOTO Ihsan JPJ
ANTARA pemandu van yang ditahan. FOTO Ihsan JPJ
Ahmad Hasbi


Seremban: Pengusaha bas sekolah di daerah ini dikesan menggunakan van tanpa permit bagi mengangkut murid sekolah yang membahayakan mereka.

Bukan sahaja van dalam keadaan uzur, malah kenderaan itu tidak dicat mengikut standard warna van sekolah berwarna jingga selain tiada langsung tertulis perkataan 'Bas Sekolah'.

Bagaimanapun, kedegilan tiga pemandu yang menggunakan jalan mudah dalam mengusahakan van sekolah ini memakan diri apabila ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan.

Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata, pihaknya melaksanakan penguatkuasaan khas ke atas van sekolah tanpa permit yang menjalankan kenderaan perkhidmatan awam di sekitar Seremban serta Nilai semalam dan hari ini.

"Dalam operasi yang membabitkan enam anggota penguatkuasa JPJ Negeri Sembilan ini, sebanyak tiga pemandu ditahan dan diambil tindakan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa atau orang ramai diminta supaya menitikberatkan penggunaan pengangkutan yang sesuai bagi menghantar anak ke sekolah demi keselamatan anak mereka.

"Orang ramai dinasihatkan menggunakan perkhidmatan atau mana-mana pengangkutan awam yang mempunyai permit bagi memastikan perjalanan selamat.

"Dalam masa yang sama, JPJ akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan berterusan untuk membendung aktiviti kenderaan persendirian yang menawarkan perkhidmatan van sekolah tanpa permit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 9:36 AM