JPJ Pulau Pinang memaklumkan operasi penguatkuasaan dijalankan di Jalan Usahaniaga, Plaza Tol Kubang Semang dan Plaza Tol Sungai Dua. FOTO Facebook JPJ Negeri Pulau Pinang
JPJ Pulau Pinang memaklumkan operasi penguatkuasaan dijalankan di Jalan Usahaniaga, Plaza Tol Kubang Semang dan Plaza Tol Sungai Dua. FOTO Facebook JPJ Negeri Pulau Pinang
BERNAMA

Bukit Mertajam: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan sebanyak 153 saman kerana pelbagai kesalahan lalu lintas di beberapa lokasi, di sini, semalam.

JPJ Pulau Pinang memaklumkan operasi penguatkuasaan itu dijalankan di Jalan Usahaniaga, Plaza Tol Kubang Semang dan Plaza Tol Sungai Dua bermula 11 pagi hingga 2 petang.

"Dalam operasi itu, pelbagai kesalahan dikesan antaranya tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, tidak pakai tali pinggang keledar, muatan berlebihan dan kesalahan teknikal seperti cermin gelap, ubah suai kenderaan tanpa kebenaran dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi," menurut hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

Sementara itu, operasi Khas Ops Ulat dan E-Hailing turut dijalankan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) bagi mengesan pemandu yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tanpa lesen atau secara haram.

Susulan itu, sebuah kereta persendirian disita dan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 16 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 iaitu beroperasi tanpa lesen yang sah.

"Sebanyak dua van dikenakan saman salah guna kenderaan persendirian bawa penumpang, manakala 15 kenderaan dikenakan Notis 115 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan meletak kenderaan di tempat tidak dibenarkan," menurut hantaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2024 @ 3:37 PM