VAN berkenaan. FOTO Ihsan JPJ
VAN berkenaan. FOTO Ihsan JPJ
Ahmad Hasbi


Seremban: Cat van berwarna jingga dan digunakan untuk mengangkut murid sekolah rendah. Itu yang dikesan dilakukan sebuah van persendirian yang tidak mempunyai permit sah.

Bagaimanapun, van berkenaan disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Jempol, semalam, selepas dikesan melakukan kesalahan itu di Jalan Bahau– Rompin, dekat Jempol.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, kenderaan itu dikesan ketika pasukan Penguatkuasa JPJ sedang membuat rondaan di sekitar jalan berkenaan, tengah hari semalam.

"Selepas pemeriksaan dilakukan, anggota bertugas mendapati seramai 16 murid sekolah yang berusia antara tujuh hingga 12 tahun berada di dalam van berkenaan.

"Pemandu van yang mengangkut pelajar sekolah sekitar Bahau ini dikenakan tindakan saman mengikut Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 mengikut seksyen yang sama," katanya dalam kenyataan.

Hanif Yusabra berkata, van berkenaan turut disita bagi mengelak mereka melakukan kesalahan berterusan.

"JPJ akan membuat pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan bagi memastikan setiap kenderaan yang digunakan sebagai bas sekolah hendaklah dilesenkan secara sah dan mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat (Apad) 2010.

"Ibu bapa juga dinasihatkan supaya memainkan peranan masing-masing dengan mendapatkan perkhidmatan bas sekolah yang mempunyai permit yang sah untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah supaya keselamatan mereka terjamin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 8:09 AM