Jana kuasa mudah alih SESB digunakan untuk memulihkan bekalan elektrik di HQE Kota Kinabalu. FOTO ihsan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah
Jana kuasa mudah alih SESB digunakan untuk memulihkan bekalan elektrik di HQE Kota Kinabalu. FOTO ihsan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sebahagian pesakit di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, terpaksa dipindahkan ke hospital lain berikutan gangguan bekalan elektrik yang bermula tengah hari semalam dan berlarutan hingga malam tadi.

Menerusi satu kenyataan malam tadi, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, pemindahan pesakit ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) itu terpaksa dilakukan terutama yang membabitkan kes pembedahan.

"Bagi memastikan perkhidmatan rawatan di HQE tidak terjejas, pelan kontigensi dilaksanakan dengan menghantar sebahagian pesakit ke HQE II. Kes-kes pembedahan juga dipindahkan ke HQE II.

"Pada 8 malam (tadi), selepas dua set jana kuasa mudah alih berfungsi, semua wad dan unit rawatan rapi (ICU) sudah mendapat bekalan elektrik, kecuali dewan bedah," katanya.

Beliau berkata, gangguan bekalan elektrik di HQE bermula pada jam 11.54 pagi semalam yang membabitkan semua fasiliti di menara berkembar, klinik pakar dan blok bangunan perubatan lama hospital berkenaan.

Katanya, syarikat konsesi yang menyediakan perkhidmatan sokongan hospital, Sedafiat Sdn Bhd kemudian mendapatkan bantuan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) pada 12.29 tengah hari bagi mencari punca gangguan dan menjalankan pemulihan bekalan.

Punca gangguan bagaimanapun belum dikenal pasti, namun pemulihan bekalan dilaksanakan segera menggunakan dua set jana kuasa sedia ada di HQE bagi menampung bekalan elektrik di bangunan yang terjejas.

"Tindakan segera HQE dan JKNS serta syarikat konsesi adalah mendapatkan set jana kuasa tambahan sebagai sokongan untuk jana kuasa HQE sedia ada.

"SESB memberi bantuan dua set jana kuasa mudah alih dari SESB Melawa, Sepanggar dan Polis Trafik Sabah membantu mengiringi kenderaan yang membawa jana kuasa terbabit bagi melancarkan perjalanan ke HQE," katanya.

Setakat lewat malam tadi, katanya pihak SESB dan syarikat konsesi masih membaiki kabel elektrik yang tidak berfungsi.

Dr Rose Nani, memberi jaminan usaha pembaikan dan pemulihan bekalan elektrik diteruskan sehingga keadaan pulih sepenuhnya.

"Pihak HQE dan JKNS akan memastikan semua pesakit di hospital berkenaan sentiasa dalam keadaan selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 8:20 AM