PASUKAN pakar bedah Hospital Queen Elizabeth (HQE) 2 Universiti Malaysia Sabah (UMS). FOTO ihsan JKNS
PASUKAN pakar bedah Hospital Queen Elizabeth (HQE) 2 Universiti Malaysia Sabah (UMS). FOTO ihsan JKNS
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Buat pertama kali, Hospital Queen Elizabeth (HQE) 2 dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya melakukan pembedahan otak secara sedar sepenuhnya ke atas seorang pesakit, 12 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, pembedahan yang dikenali sebagai 'awake craniotomy' itu dilakukan selama enam jam yang mana pesakit berada dalam keadaan sedar.

Pembedahan dijalankan pakar bedah otak HQE 2, Dr M Sofan Zenian dan D Hezry Abu Hasan bersama pakar bius otak dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS dan Pakar Perunding Kanan Pembedahan Otak dari Hospital Sungai Buloh, Dr Liew Boon Seng.

Katanya, pesakit adalah seorang wanita berusia 50 tahun yang mengalami simptom sakit kepala sejak Oktober 2022 dan disahkan menghidap 'multiple meningioma' di bahagian kiri otak setelah didiagnosis di Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan.

"Keadaannya klinikal dan gejala yang dialami pesakit semakin teruk sehingga menjejaskan kualiti

kehidupannya.

"Jadi, keputusan untuk melakukan pembedahan otak menggunakan teknik 'awake craniotomy' dilakukan untuk merawat seterusnya membolehkan pesakit menjalani kualiti kehidupan lebih baik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Rose Nani berkata, persiapan dan perbincangan rapi untuk pelaksanaan pembedahan terbabit dilakukan di antara HQE 2, HDOK dan UMS sejak November tahun lalu.

Beliau berkata, pesakit menerima penerangan secara menyeluruh daripada pakar bedah dan pakar bius sebelum pembedahan dijalankan.

"Sepanjang pembedahan, pesakit dapat mengeja nama dan menyanyikan sebuah lagu ringkas.

"Selepas pembedahan, pesakit hanya mengalami gejala sakit kepala sedikit dan dibolehkan minum air dan makan hidangan lembut keesokan harinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2023 @ 5:31 PM