JANAKUASA mudah alih SESB digunakan untuk memulihkan bekalan elektrik di Hospital Queen Elizabeth (HQE). FOTO Ihsan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah
JANAKUASA mudah alih SESB digunakan untuk memulihkan bekalan elektrik di Hospital Queen Elizabeth (HQE). FOTO Ihsan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Bekalan elektrik di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, pulih sepenuhnya selepas kira-kira 24 jam sejurus kerja pembaikan kabel rosak selesai, petang semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, bekalan elektrik di hospital itu kembali seperti biasa bermula jam 3 petang semalam.

"Laporan awal daripada kumpulan teknikal menunjukkan berlaku kerosakan kabel yang menjadi punca gangguan elektrik di HQE," katanya, di sini, hari ini.

Gangguan bekalan elektrik di HQE dilaporkan bermula pada 11.54 pagi kelmarin menyebabkan operasi di menara berkembar hospital, klinik pakar dan bangunan perubatan lama terjejas.

Berikutan itu, usaha memulihkan bekalan dilaksanakan segera oleh syarikat penyedia perkhidmatan sokongan hospital, Sedafiat Sdn Bhd menggunakan dua set jana kuasa kecemasan milik HQE sebelum dibantu dua unit jana kuasa mudah alih Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Bagaimanapun, bekalan elektrik bersumberkan empat jana kuasa itu belum dapat menstabilkan keadaan menyebabkan pihak HQE menutup sementara operasi bilik bedah selama dua hari bermula semalam bagi memastikan bekalan elektrik yang mencukupi dapat dibekalkan ke wad dan unit rawatan rapi (ICU).

Akibat penutupan operasi bilik bedah itu, sebanyak 28 kes pembedahan bukan kecemasan ditangguhkan, selain ada yang dipindahkan ke HQE II, khususnya yang membabitkan kes kecemasan.

Dr Rose Nani berkata, semua fasiliti dan operasi HQE kembali berfungsi seperti biasa selepas bekalan elektrik dapat disalurkan semula.

Sementara itu, SESB dalam kenyataannya berkata, insiden gangguan bekalan elektrik di hospital berkenaan bukan berpunca daripada kegagalan pihaknya atau kerosakan peralatan yang menyalurkan bekalan elektrik dari punca elektrik milik SESB.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Mohd Yaakob Jaafar berkata, gangguan dikenal pasti berpunca daripada kerosakan kabel bawah tanah milik HQE.

"Pemeriksaan terhadap sistem bekalan elektrik yang disalurkan SESB ke HQE mendapati kabel milik SESB berada dalam keadaan yang baik dan tidak mengalami sebarang kerosakan.

"Pasukan teknikal SESB sudah membuat ujian dan mendapati punca gangguan bekalan adalah disebabkan sistem dalaman hospital," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 3:07 PM