GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Ribuan pengguna di sekitar Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang, di sini, terputus bekalan elektrik sejak kira-kira 6 petang tadi.

Situasi itu menimbulkan rungutan orang ramai, kerana sekali lagi berdepan ketiadaan bekalan elektrik selepas situasi sama berlaku malam semalam.

Berikutan situasi itu juga ramai peniaga menutup awal premis masing-masing seawal jam 6.30 petang tadi, manakala peniaga gerai yang baru memulakan perniagaan ada yang terpaksa menggunakan set jana kuasa sendiri atau menggunakan lampu suluh.

Berdasarkan makluman awal Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), situasi itu berpunca daripada gangguan bekalan talian bervoltan tinggi yang membabitkan beberapa tempat di Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang.

Syarikat utiliti itu, katanya, dalam tindakan untuk melaksanakan pemulihan bekalan secara berperingkat.

Difahamkan, gangguan bekalan elektrik yang berlaku turut membabitkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan Hospital Queen Elizabeth (QEH).

Semalam beberapa kawasan di seluruh negeri ini dan Labuan turut berdepan gangguan bekalan elektrik berpunca daripada kerosakan teknikal pepasangan di sebuah Pencawang Masuk Utama (PMU) SESB, di sini.

SESB dalam kenyataannya siang tadi berkata, kerosakan itu menyebabkan beberapa jana kuasa utama terpelantik hingga mengakibatkan sistem Grid Sabah kehilangan kapasiti tenaga sebanyak 200 Megawatt (MW).

Gangguan bekalan elektrik yang bermula pada jam 8 malam itu dilaporkan pulih sepenuhnya pada 10.06 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 7:24 PM