FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menafikan hospital di Sabah berdepan masalah bekalan ubat sehingga memaksa pemberian ubat kepada pesakit dikurangkan.

Pengarahnya, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, bekalan ubat di Sabah untuk tahun ini masih mencukupi, namun kaedah pemberian ubat kepada pesakit diubah daripada sebulan atau tiga bulan sekali kepada dua minggu sekali.

Pada masa sama katanya, JKNS juga melakukan perolehan bekalan ubat secara berterusan untuk memastikan kesinambungan bekalan di semua hospital di negeri ini.

"Pada masa ini bekalan ubat adalah mencukupi untuk tahun 2021, namun bagi memastikan semua pesakit mendapat ubat mereka, kaedah pengagihan ubat kepada individu diubah.

"Setiap pesakit kini diberi bekalan untuk dua minggu berbanding untuk tempoh satu atau tiga bulan sebelum ini bagi memastikan tiada pesakit yang tidak mendapat ubat," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau mengulas dakwaan pihak tertentu yang mengatakan bekalan ubat hospital di Sabah merosot hingga memaksa pemberian ubat kepada pesakit dikurangkan.

Dr Rose Nani berkata, JKNS sentiasa komited untuk memberikan layanan yang terbaik kepada pesakit dan mengamalkan nilai budaya korporat sebagai penjawat awam.

"JKNS juga akan memastikan bekalan ubat tidak terputus untuk pesakit. Pesakit juga dinasihatkan supaya menggunakan ubat yang diberikan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan sebaik mungkin dan mengelakkan pembaziran," katanya.

Sementara itu, Dr Rose Nani berkata bagi memudahkan pesakit mendapatkan bekalan ubat, JKNS turut menyediakan Perkhidmatan Farmasi Pandu Lalu di berapa fasiliti kesihatan di negeri ini.

Katanya, bagi kawasan Kota Kinabalu, perkhidmatan berkenaan disediakan di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Klinik Kesihatan UTC Kota Kinabalu dan Klinik Kesihatan Putatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 8:25 AM