GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) hari ini tampil memberi penjelasan berhubung gangguan bekalan elektrik dialami pengguna di beberapa kawasan seluruh negeri ini dan Labuan malam tadi.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat utiliti itu menjelaskan situasi berkenaan berpunca daripada kerosakan teknikal pemasangan di sebuah pencawang masuk utama (PMU) SESB di sini.

Menurutnya, kerosakan itu menyebabkan beberapa jana kuasa utama terpelantik hingga memyebabkan sistem Grid Sabah kehilangan kapasiti tenaga sebanyak 200 megawatt (MW).

"Lanjutan daripada itu, pemulihan bekalan dilakukan secara berperingkat bermula 8 malam tadi dan pulih sepenuhnya pada 10.06 malam.

"Siasatan terhadap punca kerosakan masih dilakukan. SESB memohon maaf atas segala kesulitan dialami pengguna semasa gangguan bekalan elektrik dan sebarang pertanyaan mengenai gangguan bekalan, pengguna boleh menghubungi talian SESB Careline di 15454," katanya.

Malam tadi, ramai pengguna di beberapa kawasan di negeri itu termasuk di sekitar bandar raya ini meluahkan rasa tidak puas hati melalui media sosial berikutan gangguan elektrik di kawasan masing-masing.

Berikutan gangguan itu juga, beberapa mesej berupa peringatan kepada orang ramai supaya bersiap sedia menghadapi catuan bekalan elektrik yang didakwa sedang dilakukan SESB disebarkan di media sosial.

Awal bulan ini, SESB mengeluarkan kenyataan berhubung langkah melaksanakan catuan bekalan bagi menangani peningkatan penggunaan elektrik berikutan cuaca panas ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB Ir Mohd Yaakob Jaafar berkata, tindakan itu terpaksa dilakukan bagi menangani kemungkinan ketidakcukupan tenaga disebabkan rizab tenaga yang rendah.

Difahamkan, ketika ini bekalan tenaga di Sabah mencapai 1,200 MW jika semua loji jana kuasa termasuk yang dikendalikan penyedia tenaga bebas (IPP) beroperasi sepenuhnya.

Secara purata pula, permintaan tenaga elektrik pada waktu puncak di Sabah adalah 970 MW, namun boleh meningkat sehingga lebih 1,000 MW seperti dilaporkan pada 26 April lalu yang mencatat kadar permintaan tenaga mencecah 1,029 MW.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 1:02 PM