AMINUDDIN (tengah) bersama Mohd Khairuddin (kanan) dan Mohd Yazid pada Majlis Pecah Tanah Naik Taraf LRA Gemas Baru. FOTO ihsan Pejabat MB.
AMINUDDIN (tengah) bersama Mohd Khairuddin (kanan) dan Mohd Yazid pada Majlis Pecah Tanah Naik Taraf LRA Gemas Baru. FOTO ihsan Pejabat MB.
Mohd Amin Jalil


Tampin: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM347.25 juta untuk projek pembangunan bekalan air baharu melalui pembiayaan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) di Negeri Sembilan bagi 2021 hingga 2023.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, projek itu termasuk menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Gemas Baru berharga RM19.89 juta.

"Projek menaik taraf LRA Gemas Baru ini membabitkan pembinaan paip pengepaman baru dengan diameter 500 milimeter (mm) dari LRA Gemas Baru sehingga ke Kolam Imbangan Londah sepanjang 5.2 kilometer (km) dan pemasangan dua unit pam baru di kawasan muka sauk serta empat unit pam baru di stesen pengepaman air terawat.

"Projek ini dijangka dapat meningkatkan kapasiti bekalan air sehingga 40 juta liter hari dan memberI manfaat kepada penduduk di sebahagian kawasan Tampin dan Jempol dengan dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun 2023," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Naik Taraf LRA Gemas Baru di Gemas dekat sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Tampin, Datuk Dr Hasan Bahrom; Pengerusi Aset Air Berhad (PAAB), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Pengarah Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), Mohd Yazid Ahmad.

Aminuddin berkata, terdapat tiga lagi projek utama di bawah pembiayaan PAAB yang membabitkan kos RM287 juta sedang giat dilaksanakan iaitu pembinaan LRA Sawah Raja Fasa 2 di Rembau, pembinaan tangki imbangan Batu 5 (Fasa 3) Sungai Terip, Seremban dan kerja menambah baik makmal kualiti air di LRA Sungai Linggi, Port Dickson.

Selain itu, pembinaan LRA Ngoi-Ngoi 2 dengan anggaran kos RM228 juta yang bakal menampung keperluan pembangunan Lembah Wawasan Malaysia (MVV) meliputi kawasan seluas 153,000 hektar di Seremban dan Port Dickson, katanya.

"Kerja pembinaan semua projek terbabit dijangka bermula pada bulan ini dan siap secara keseluruhannya pada tahun 2024 sekali gus dapat menambah kapasiti bekalan air terawat serta menampung permintaan tinggi di kawasan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 10:51 AM