ABDUL Hadi Ali (tiga dari kanan) menyerahkan replika cek RM50,000 kepada Pengetua SMK Taman Scientex, Mohd Azmi Abdul Rahman (tiga dari kiri). FOTO Izz Laily Hussein
ABDUL Hadi Ali (tiga dari kanan) menyerahkan replika cek RM50,000 kepada Pengetua SMK Taman Scientex, Mohd Azmi Abdul Rahman (tiga dari kiri). FOTO Izz Laily Hussein
Izz Laily Hussein


Pasir Gudang: Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) menjalankan inisiatif program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka, PAAB School Sustainability dengan menyumbangkan RM50,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Scientex di sini.

Sumbangan itu adalah bagi membaiki dan menaik taraf sistem bekalan air di sekolah berkenaan yang memerlukan penambahbaikan bagi memastikan seramai 2,004 pelajar sekolah itu dapat mengikuti sesi persekolahan yang lebih kondusif.

Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Abdul Hadi Ali berkata, sumbangan disalurkan pihaknya kepada sekolah itu adalah sebahagian daripada CSR yang berteraskan kelestarian dalam pendidikan.

Menurut beliau, dana itu antara lain juga dibelanjakan untuk menaik taraf bilik guru yang menempatkan kira-kira 122 orang guru bagi memudahkan mereka melaksanakan tugasan harian sebagai pendidik dengan lebih selesa.

"SMK Taman Scientex dipilih sebagai antara sekolah yang menyertai program 'PAAB School Sustainability 2022-2023' ini kerana kedudukannya yang berada dalam jajaran Projek Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Layang 2.

"Projek LRA Layang 2 yang dijangka siap sepenuhnya pada Julai ini dengan kos RM233.5 juta dan berupaya menyalurkan tambahan bekalan air bersih berjumlah 320 juta liter sehari ke daerah Pasir Gudang, Johor Bahru dan Iskandar Puteri," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pertandingan e-Komik PAAB Peringkat Kebangsaan di SMK Taman Scientex di sini, hari ini.

Turut hadir Pengetua SMK Taman Scientex, Mohd Azmi Abdul Rahman.

Sementara itu, Pertandingan e-Komik PAAB Peringkat Kebangsaan yang dianjurkan sekolah itu dengan kerjasama dan tajaan PAAB bertemakan 'Penjimatan Air' membabitkan penyertaan 450 pelajar yang mewakili 25 sekolah dari seluruh negara.

Abdul Hadi berkata, pelbagai idea kreatif dan mesej penjimatan air berjaya dihimpunkan untuk menjadi rujukan masa hadapan sekali gus berupaya menyebarkan maklumat mengenai penjimatan air menerusi kempen kesedaran air kepada generasi muda.

Pada masa sama, Pengetua SMK Taman Scientex, Mohd Azmi Abdul Rahman berkata, sumbangan diterima sekolah itu adalah sumbangan yang bermakna kepada sekolah itu khususnya pelajar dan guru.

"Sumbangan ini digunakan untuk menaik taraf kemudahan bekalan air dan infrastruktur sekolah dan antara tempat yang sudah dibaikpulih adalah penyelenggaraan saluran paip di semua pondok wakaf sekolah.

"Selain itu, menyelenggara pam air tempat wuduk, paip pondok pengawal dan longkang dalam kawasan sekolah, membina laluan di hadapan pejabat dan menaik taraf bilik guru," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Mohd Azmi berkata, pertandingan e-komik yang dianjurkan pula menjadi satu wadah kempen kesedaran air di kalangan murid dan komik menjadi medium penyampaian yang sesuai dan berkesan di kalangan murid sekolah.

"Semoga usaha ini dapat melahirkan bakat baharu serta inovasi baharu yang boleh diketengahkan serta dapat melahirkan modal insan berkualiti yang boleh menyumbang kepada kecemerlangan sekolah, daerah, negeri serta negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2023 @ 5:02 PM