GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kerajaan Negeri Sembilan sudah mempunyai rancangan jangka panjang bagi menangani masalah gangguan bekalan air di Port Dickson yang kerap berlaku kebelakangan ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, gangguan itu berlaku berpunca daripada masalah kekeruhan tinggi pada bekalan air mentah.

Katanya, apabila hujan lebat, sampah, dahan dan pokok terapung pada muka sauk menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sunggi Linggi itu tidak dapat memproses air terawat pada kadar yang maksimum.

"Ia menyebabkan sebahagian kawasan di Port Dickson mengalami tekanan air rendah sekali gus gangguan bekalan.

"Bagaimanapun kerajaan negeri sudah merancang melaksanakan projek menaik taraf sistem bekalan air dengan menambah baik kolam simpanan dan sumber alternatif bekalan air dari LRA Sawah Raja bagi membantu menambah baik bekalan air dari LRA Linggi ke kolam imbangan SiRusa.

"Perancangan melalui Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) ini bagi meningkatkan dan menjamin bekalan air berterusan ke daerah berkenaan," katanya pada Persidangan Kedua (Belanjawan) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang ke-14, di sini, hari ini.

Aminuddin (PH-Sikamat) menjawab pertanyaan Datuk Tun Hairudin Abu Bakar (BN-Bagan Pinang) yang bertanyakan isu gangguan bekalan air yang kerap berlaku di Port Dickson.

Beliau berkata, antara cadangan untuk meningkatkan sumber bekalan air mentah ialah pembinaan projek takungan air pinggiran sungai (TAPS) Linggi seluas 168 hektar oleh Bahagian Bekalan Air, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang kini dalam proses reka bentuk akhir oleh pihak perunding.

Katanya, SAINS juga dalam proses membuat permohonan kelulusan beberapa projek daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi peruntukan dalam Pelan Perniagaan Kelima dan Keenam (2021–2026) untuk meningkatkan bekalan air terawat.

"Projek berkenaan adalah pemasangan paip pengepaman baru saiz 800 mm daripada LRA Sawah Raja ke kolam Bukit Kunyit dan pemasangan paip baru saiz 500 mm daripada kolam Teluk Kemang ke kolam Sirusa.

"Selain itu, membina rumah pam baru serta sistem pam di kolam Teluk Kemang dan pembinaan LRA Kampung Barisan dengan kapasiti 150 juta liter sehari.

"Projek ini jika diluluskan akan dilaksanakan oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 3:22 PM