Amir Abd Hamid


Hulu Langat: Projek Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 yang mula dibina pada Mac 2014 sudah mencapai kemajuan 88 peratus siap setakat awal Oktober 2021.

Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Datuk Seri Hasan Arifin berkata, projek LRA terbesar di Asia Tenggara itu dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2023.

"Apabila siap sepenuhnya, LRA Langat 2 berupaya membekalkan keperluan 1,130 juta liter air sehari kepada penduduk di Lembah Klang sekali gus meningkatkan rizab bekalan air Selangor.

"Status terkini setakat awal Oktober 2021, LRA Langat 2 berupaya membekalkan 430 juta liter air sehari kepada Pengurusan Air Selangor (AIS) seterusnya ke pengguna di Hulu Langat, Semenyih dan Pudu," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis pecah tanah projek LRA Langat 2 bagi Pakej 6 A iaitu membina dan menyiapkan terowong koridor utara yang membekalkan air terawat dari kolam air imbangan Hulu Langat ke kolam air Ampang, di sini, hari ini.

HASAN menekan butang sebagai gimik majlis Pecah Tanah Terowong Koridor Utara yang juga sebahagian daripada projek LRA Langat 2. FOTO Fathil Asri
HASAN menekan butang sebagai gimik majlis Pecah Tanah Terowong Koridor Utara yang juga sebahagian daripada projek LRA Langat 2. FOTO Fathil Asri

Hadir sama, Pengarah Urusan IINFRA Sdn Bhd Tengku Datuk Hishammuddin Zaizi dan Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Abdul Hadi Ali.

Hasan berkata, terowong koridor utara sepanjang 2.2 kilometer dengan garis pusat 3.2 meter setiap satu adalah pertama seumpamanya di Malaysia yang masing-masing berfungsi menyalurkan air terawat ke tempat simpanan air (kolam air).

"Terowong berkenaan berupaya menyalurkan 290 juta liter air sehari untuk diagihkan kepada penduduk sekitar Ampang, Keramat dan Hulu Klang, serta dijangka siap sepenuhnya pada 30 September 2023.

"Pembinaan terowong berkembar ini adalah sebahagian usaha PAAB dalam memelihara alam sekitar membabitkan kawasan Hutan Simpan Hulu Langat dan Hutan Simpan Bukit Sungai Putih, Selangor serta boleh menjadi penanda aras kepada pemaju lain untuk lebih peka terhadap kesan kepada flora dan fauna," katanya.

Untuk rekod, katanya, PAAB bertanggungjawab membangunkan LRA Langat 2 yang merangkumi 23 pakej membabitkan kawasan Hulu Langat, Cheras, Sungai Besi, Bukit Jalil, Petaling, Bandar Kinrara, Bukit Dengkil, Ampang dan Keramat AU3.

Kerajaan Persekutuan bersetuju membina LRA Langat 2 dengan kos RM3.7 bilion bagi menampung keperluan dan permintaan tinggi bekalan air di Lembah Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 11:52 AM