Foto hiasan
Foto hiasan
Samadi Ahmad

LEBIH 261,000 pemilik akaun air terawat di Kelantan dijangka akan menikmati perkhidmatan bekalan lebih bersih berikutan pelaksanaan 33 projek bekalan air yang sedang dijalankan sehingga 2025.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Tun Ibrahim Tuan Man berkata, fokus diberikan kepada dua aspek utama iaitu pembangunan dan menaik taraf loji rawatan air (LRA) serta pengurangan kadar air tidak terhasil.

Menurutnya, sebanyak 12 projek pembangunan dan menaik taraf LRA akan dibangunkan membabitkan pembiayaan pinjaman berjumlah RM176 juta oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan dua projek dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan di bawah KASA dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

"Kos keseluruhan projek dan menaik taraf LRA itu berjumlah RM100 juta," katanya melalui kenyataan media di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, antara projek yang sedang dilaksanakan adalah pembinaan LRA Merbau Condong, Tanjung Mas, Felda Chiku, Kampung Teluk, Tualang dan 18 projek mini LRA.

Katanya, projek itu sangat penting bagi meningkatkan liputan bekalan air terawat yang kini berada pada tahap 68 peratus di kawasan bandar dan 72 peratus di luar bandar.

"Kerajaan Persekutuan melalui KASA turut memperuntukkan geran berjumlah RM69.95 juta bagi pelaksanaan Program Pengurangan Kadar Air Tidak Terhasil Kebangsaan (NRW)," katanya.

Menurutnya, lebih RM200 juta peruntukan turut diluluskan melalui pembiayaan (PAAB) bagi program penggantian saluran paip yang sedang dan akan dilaksanakan sehingga 2023.

Katanya, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada modal berjumlah RM400 juta yang diluluskan kerajaan.

"Pelaksanaan projek ini penting bagi mengurangkan kadar NRW Kelantan yang mencatat paras 50.8 peratus pada 2019.

"Pada masa sama kerajaan negeri turut melabur RM30 juta bagi pelaksanaan 16 projek membaik pulih telaga dan pembinaan LRA mini di Pintu Gang, Perol, Ketereh, Wakaf Bharu, Kelar dan Telok Mesira."

"Kementerian akan terus berkerjasama dengan kerajaan negeri dalam memastikan bekalan air terawat berkualiti dapat dinikmati penduduk di negeri berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 5:12 PM