Tong yang digunakan untuk mengisi diesel dan petrol sebelum dua lelaki dicekup oleh anggota dan pegawai KPDNHEP jam 8.30 pagi hari ini. FOTO IHSAN KPDNHEP
Tong yang digunakan untuk mengisi diesel dan petrol sebelum dua lelaki dicekup oleh anggota dan pegawai KPDNHEP jam 8.30 pagi hari ini. FOTO IHSAN KPDNHEP
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Tindakan dua lelaki cuba menyeleweng diesel dan petrol gagal apabila dicekup anggota penguat kuasa dalam serbuan di stesen minyak berasingan, di sini, hari ini.

Serbuan pada 8.30 pagi dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri selepas menerima maklumat dan hasil risikan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah, Mohd Koma Shapii berkata, kedua-dua suspek berusia 40-an itu ditahan ketika sedang mengisi minyak di dalam bekas dan tangki kenderaan tanpa permit khas KPDNHEP.

Menurutnya, pihaknya menyita dua pacuan empat roda Toyota Hilux bersama kira-kira 400 liter (l) diesel dan 30 l petrol dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM51,000.

"Dua suspek berkenaan dibawa ke pejabat KPDNHEP untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Pada masa sama, dua stesen minyak terbabit juga disiasat bagi memastikan tiada elemen 'bersubahat' dalam kejadian berkenaan," katanya dalam kenyataan, di sini.

Katanya, KPDNHEP sentiasa komited dalam membanteras unsur penyelewengan dan ketirisan bahan api sekal gus tidak akan berkompromi dalam penguatkuasaan undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 4:48 PM