Mohd Amin Jalil


Nilai: Gunakan beberapa lori lima tan yang sudah diubah suai khusus bagi melakukan aktiviti penyelewengan diesel subsidi skala besar sejak beberapa bulan lalu.

Kegiatan itu bagaimanapun berjaya ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya hasil dua siri serbuan serentak, Khamis lalu.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDNHEP Putrajaya, Shamsul Nizam Khalil, berkata, serbuan dilakukan terhadap sebuah premis dan stesen minyak di Jalan Klang Banting, Jenjarom Kuala Langat, Selangor.

Rampasan minyak diesel bersubsidi dalam serbuan dua premis di Jalan Klang Banting, Jenjarom, Kuala Langat. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Rampasan minyak diesel bersubsidi dalam serbuan dua premis di Jalan Klang Banting, Jenjarom, Kuala Langat. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Katanya, premis berkenaan disyaki dijadikan stor tempat penyimpanan diesel haram dan aktiviti pemindahan minyak diesel bersubsidi yang dibeli daripada stesen minyak.

"Stesen minyak dengan premis yang dipercayai stor penyimpanan itu terletak dalam lingkungan jarak lima kilometer.

"Serbuan diketuai Pegawai Penguat Kuasa Rosli Ismail dilakukan pada jam 2.50 petang membabitkan seramai 20 anggota KPDNHEP Putrajaya selepas risikan.

"Ketika serbuan, terdapat dua lori lima tan sedang mengisi minyak diesel bersubsidi menggunakan dua nozel di pam stesen minyak berkenaan ke dalam tangki lori yang telah diubah suai," katanya di Kompleks Penyimpanan Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP di sini, tadi.

Katanya, hasil serbuan ke atas premis disyaki stor penyimpanannya itu pula, mendapati aktiviti pemindahan minyak diesel sedang dilakukan daripada dua lori lima tan.

Shamsul Nizam berkata, kesemua barang kes berkenaan disita termasuk lori yang digunakan, minyak diesel sebanyak 26,459 liter bernilai kira-kira RM56,888 selain alatan sambungan berupa saluran (hos), meter, dokumen berkaitan dan resit dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM215,680.30.

Katanya, pasukan serbuan turut menahan lima individu rakyat tempatan berusia dalam lingkungan 25 hingga 50 tahun membabitkan pemandu lori dan seorang penjaga stor.

"Turut ditahan seorang lelaki rakyat tempatan berusia 36 tahun selepas dia mengaku sebagai pemilik stesen minyak berkenaan untuk membantu siasatan.

"Kertas siasatan dibuka dan siasatan lanjut terhadap kes ini akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti rantaian pengedaran minyak diesel terbabit dari stesen minyak ke tempat penyimpanan sehingga ke peringkat pembeli.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Manakala bagi syarikat pula, boleh didenda tidak melebihi RM3 juta. Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen berkaitan barang kawalan oleh syarikat yang terbabit sehingga siasatan selesai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 4:29 PM