Tangki pada bahagian belakang lori yang diubahsuai untuk mengisi diesel. FOTO KPDNHEP
Tangki pada bahagian belakang lori yang diubahsuai untuk mengisi diesel. FOTO KPDNHEP
Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggagalkan cubaan menyeleweng diesel menggunakan lori tangki minyak sawit, di sini, semalam.

Serbuan dilakukan kira-kira 7 malam menerusi operasi bersepadu KPDNHEP bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Tok Bali dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai hasil maklumat daripada risikan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, pihak polis mengesan pergerakan sebuah lori tangki minyak sawit dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kota Bharu-Gua Musang.

"Susulan itu, anggota bertindak menahan lori tangki berkenaan di Kuala Krai dan hasil pemeriksaan mendapati kenderaan itu membawa sejumlah diesel disyaki untuk diselewengkan.

"Siasatan awal mendapati bekalan diesel berkenaan diperolehi secara belian di stesen-stesen minyak di sekitar Kelantan dan Terengganu selain tangki belakang lori juga sudah diubah suai," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Aswadi berkata, pasukan operasi bertindak menyita barang kawalan iaitu diesel dianggarkan sebanyak 30,000 liter selain turut merampas sebuah lori bersama tangki dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM400,000.

"Dalam masa sama, dua suspek lelaki warga tempatan berusia 39 dan 41 tahun ditahan dan direman selama empat hari untuk membantu siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 4:29 PM