PETROL dalam tong plastik serta tangki tambahan kereta dirampas dalam serbuan. FOTO ihsan KPDN
PETROL dalam tong plastik serta tangki tambahan kereta dirampas dalam serbuan. FOTO ihsan KPDN
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Taktik mengisi petrol dalam keadaan gelap di stesen minyak di Pulau Melaka, di sini, yang tamat operasi terbongkar berikutan penemuan tong plastik mengandungi bahan bakar itu dalam sebuah kenderaan.

Dalam serbuan pada 3.55 pagi tadi, sepasukan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas sebanyak 935 liter petrol yang ditemukan dalam 37 tong plastik serta tangki tambahan kereta Proton Wira Aeroback.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, pihaknya sebelum itu menerima aduan mengenai aktiviti dipercayai penyelewengan barang kawalan sebelum menjalankan risikan.

"Pasukan kami membuat pemantauan selama satu jam dan melihat berlaku aktiviti mengisi petrol di stesen minyak itu membabitkan dua kenderaan walaupun premis terbabit sudah ditutup dan keadaan gelap.

"Sebaik serbuan dibuat, pemandu sebuah kereta berjaya memecut sebelum merempuh kenderaan KPDN dalam keadaan kelam-kabut menyebabkan berlaku kerosakan.

"Manakala, seorang lagi pemandu melarikan diri ke dalam semak dan gagal dikesan ketika kenderaannya sedang membuat pengisian petrol," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui muatan petrol anggaran sebanyak 935 liter di dalam beberapa tong serta tangki tambahan dengan nilai RM1,916.75.

Katanya, siasatan mendapati pembelian petrol itu dibuat secara dalam talian dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Tindakan juga akan diambil terhadap pemilik premis sama ada turut bersubahat dalam aktiviti penyelewengan itu.

"Kami memberi amaran keras kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti yang tidak bermoral ini kerana tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2023 @ 2:05 PM