PENGUAT kuasa KPDNHEP memeriksa tong berisi petrol yang dibeli tanpa sebarang surat kebenaran bertulis. FOTO Juwan Riduan
PENGUAT kuasa KPDNHEP memeriksa tong berisi petrol yang dibeli tanpa sebarang surat kebenaran bertulis. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


SEBUAH stesen minyak di Kota Marudu diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas didapati melakukan penyelewengan bahan bakar bersubsidi, awal pagi hari ini.

Dalam serbuan 5.30 pagi itu, stesen minyak berkenaan didapati menjual bahan api bersubsidi kepada pembeli yang tidak mempunyai kebenaran dari Pengawal Bekalan.

Ketua Penguatkuasa KPDNHEP Kudat, Geoffrey Gumalang berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota selepas menerima aduan berhubung aktiviti penyelewengan minyak petrol di stesen berkenaan.

Katanya, risikan selama dua hari di stesen minyak berkenaan mendapati ada aktiviti mencurigakan membabitkan lori tiga tan yang penuh dengan tong berwarna biru kapasiti 200 liter.

"Selain itu, siasatan turut mendapati terdapat sebuah kenderaan pacuan empat roda turut membuat pengisian petrol RON95 di stesen berkenaan.

"Siasatan mendapati tiada sebarang surat kebenaran bertulis kepada kedua-dua kenderaan itu dan pasukan serbuan terus menyita keseluruhan 3,321 liter petrol bersama kedua-dua kenderaan berkenaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Geoffrey berkata, nilai keseluruhan rampasan petrol bersama kenderaan berkenaan dianggarkan berjumlah RM104,883.74 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 dan Perkara 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 Akta Kawalan Bekalan 1961.

"KPDNHEP menahan dua lelaki tempatan berusia 31 dan 70 tahun bersama pengusaha stesen minyak untuk tindakan selanjutnya.

"Semua individu terbabit disiasat mengikut Peraturan 21, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana melanggar syarat lesen iaitu menjual Petrol/Diesel kepada orang yang tidak mempunyai kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan," katanya.

Geoffrey berkata, sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakam denda sebanyak RM 1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala hukuman ke atas syarikat adalah denda tidak melebihi RM 3 juta.

"KPDNHEP Kudat akan meneruskan pemantauan dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu termasuk pengusaha stesen minyak yang terbabit dalam aktiviti penyelewengan berkaitan petrol dan diesel.

"Orang ramai dan pengusaha stesen minyak diingatkan bahawa mana-mana pihak hendak membeli petrol dan diesel bagi tujuan selain daripada mengisi minyak ke dalam kenderaan, mereka perlu mendapatkan Permit Khas yang dikeluarkan oleh KPDNHEP," katanya.

Geoffrey berkata, permohonan boleh dibuat menerusi http://mysubsidi.kpdnhep.gov.my/permitkhas/ bagi kategori kegunaan persendirian, forklift, pertanian, pengusaha industri makanan, penempatan penduduk di kawasan pedalaman dan nelayan bukan sepenuh masa secara kecil-kecilan.

"Kuantiti maksimum yang dibenarkan dalam Permit Khas adalah sebanyak 200 liter sehari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 11:34 PM