Mohd Azizi (tengah) pada sidang media di bangunan Parlimen. FOTO Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia
Mohd Azizi (tengah) pada sidang media di bangunan Parlimen. FOTO Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia
Muhammad Yusri Muzamir


Kuala Lumpur: Enam Ahli Parlimen yang dihentikan keanggotaan daripada BERSATU belum memuktamadkan keputusan untuk mempertahankan kerusi disandang mereka, jika Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.

Bercakap pada sidang media di Parlimen hari ini, mereka menjelaskan ketetapan itu dibuat selepas keenam-enam wakil rakyat berkenaan yakin kerusi masing-masing tidak akan dikosongkan.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman yang bertindak sebagai jurucakap berkata, ini mengambil kira tindakan enam wakil rakyat berkenaan yang tidak pernah meninggalkan atau berhenti menjadi ahli BERSATU.

Sebaliknya beliau berkata, enam Ahli Parlimen terbabit dipecat daripada BERSATU dan nama mereka dibuang daripada sistem keahlian parti berkenaan.

"Ini jelas membuktikan tiada unsur kami berenam meninggalkan BERSATU atau melompat ke parti lain yang boleh meletakkan kami di Perkara 49(A) Perlembagaan Persekutuan.

"Kekosongan kerusi tidak akan berlaku memandangkan pindaan perlembagaan BERSATU hanya diluluskan pada 1 April lalu, selepas kami membuat keputusan menyokong Kerajaan Madani diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kami beranggapan, perlembagaan BERSATU yang dipinda dengan niat jahat untuk memastikan kami dijadikan kambing hitam atau dianiaya hanya kerana memilih rakyat berbanding terus menyokong pucuk pimpinan (BERSATU)," katanya.

Sebelum ini, enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan Majlis Pimpinan Tertinggi untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik; Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang) dan Suhaili. Seorang lagi ialah ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Suhaili berkata, keputusan menyokong Kerajaan Madani dibuat selepas mengambil kira ketetapan BERSATU enggan bersama Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan Persekutuan seperti disarankan Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Beliau berkata, dua pucuk pimpinan BERSATU ketika itu membuat keputusan untuk menjadi blok pembangkang tanpa berunding dengan Ahli Parlimen daripada parti itu.

"Itu pun kami bertahan hingga setahun, jaga kawasan tanpa peruntukan... orang minta bantuan, terpaksa kata tiada bantuan. Kami tak boleh berterusan beri alasan tiada peruntukan selama lima tahun berturut-turut.

"Bukan pilihan kami untuk menjadi pembangkang, sebaliknya kepemimpinan parti yang menjadikan kami mangsa keadaan. Maka, kami memilih untuk kembali ke jalan benar demi pengundi," katanya.

Sementara itu, Mohd Azizi tidak menolak kemungkinan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri tak akan berlaku jika keputusan kes saman mencabar pengisytiharan Yang Dipertua DUN Kelantan, memihak kepadanya.

"Masih banyak masa memandangkan tarikh (PRK DUN Nenggiri) diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya adalah pada 17 Ogos depan. Mahkamah mungkin boleh membuat keputusan (sebelum 17 Ogos).

"Jika keputusan sebaliknya ekoran status saya sebagai ahli Bebas, saya serahkan kepada Kerajaan Perpaduan untuk membawa nama yang dirasakan perlu atau lebih sesuai untuk menggantikan saya.

"Saya akur (keputusan) kepimpinan Persekutuan, tak kisah parti mana yang bertanding dan bersedia membantu Barisan Nasional jika parti berkenaan meletakkan calon pada PRK DUN Nenggiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 3:48 PM