PEMAIN JDT, Ignacio Insa terjatuh ketika cuba merampas bola daripada kawalan pemain Universiti Malaysia  Zulkarnain Nasir  di Stadium Sultan Ibrahim, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
PEMAIN JDT, Ignacio Insa terjatuh ketika cuba merampas bola daripada kawalan pemain Universiti Malaysia Zulkarnain Nasir di Stadium Sultan Ibrahim, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pencapaian membanggakan Johor Darul Ta'zim (JDT) di pentas domestik mahupun antarabangsa menyaksikan kelab tempatan itu semakin 'mendonia'.

Terbaharu laman Opta Analyst mencatatkan kedudukan ranking JDT melonjak ke tangga ke-16 Asia sekali gus memintas beberapa kelab besar seperti Kawasaki Frontale dan Al-Ittihad, masing-masing di tangga ke-25 dan 26 Asia.

Kejayaan memberangsangkan itu langsung tidak membuatkan skuad Harimau Selatan berpeluk tubuh apabila JDT dijangka akan terus 'mengaum' di peringkat antarabangsa.

Perkara itu diluahkan sendiri pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menegaskan akan lebih banyak kejayaan diraih kelab itu selepas ini.

"Alhamdulillah, lebih banyak akan tiba," katanya di ruangan komen hantaran yang diulang siar oleh laman Johor Southern Tigers.

Ketika ini skuad kendalian Hector Bidoglio mengekalkan rekod cemerlang 100 peratus kemenangan dalam semua kejohanan yang diharungi.

Hal ini termasuklah ketika berjaya menundukkan kelab Liga A1, Universiti Malaysia pada aksi suku akhir pertama Piala FA 2024.

JDT menjadi wakil tunggal Malaysia untuk beraksi di Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) yang dijadualkan bermula pada September 2024 hingga Mei 2025.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 3:42 PM