MAYAT mangsa dibawa ke jeti selepas ditemukan berhampiran jeti lama Tanjung Manis. FOTO ihsan bomba
MAYAT mangsa dibawa ke jeti selepas ditemukan berhampiran jeti lama Tanjung Manis. FOTO ihsan bomba
Melvin Joni


Sarikei: Seorang nelayan yang dilaporkan hilang ketika menangkap ikan di Sungai Kenyau, Batang Rajang, Tanjung Manis, di sini, malam tadi, ditemukan mati lemas hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mayat Saipul Arshad, 37, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 10 pagi berhampiran jeti lama Tanjung Manis.

"Mangsa disahkan meninggal dunia dan mayat dibawa ke Hospital Sarikei untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mangsa dilaporkan hilang jam 10.55 malam tadi selepas perahu dinaikinya melanggar tiang jeti lama yang digunakan untuk memuatkan balak di sungai, pada jarak 50 meter dari pantai.

Kejadian dipercayai berlaku semasa hujan lebat dan usaha mencari mangsa yang dijalankan oleh penduduk kampung gagal menemukannya sebelum abang mangsa hadir membuat laporan di Balai Polis Tanjung Manis.

Susulan itu, operasi SAR dimulakan seawal jam 5.30 pagi hari ini, membabitkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis Marin bersama penduduk kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 11:44 AM