PASUKAN bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa dari kawasan hutan nipah. FOTO Ihsan Bomba
PASUKAN bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa dari kawasan hutan nipah. FOTO Ihsan Bomba
Erika George


Sarikei: Seorang lelaki yang dilapor hilang selepas disyaki tersesat ketika memasuki hutan nipah Sentebu, di sini, petang semalam ditemukan mati hari ini.

Mangsa, Chee Hua King, 37, ditemukan mati dalam keadaan terduduk dalam kawasan paya hutan berkenaan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR), 1.41 petang tadi.

Komander Operasi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan mayat Chee ditemukan pada jarak 30 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat masuk ke kawasan hutan berkenaan dari jalan utama pada 5.30 petang semalam.

"Pasukan SAR mengambil masa setengah jam mengeluarkan mayat mangsa dari kawasan hutan berkenaan menggunakan alat pengusung khas, dengan mangsa berjaya dikeluarkan 2.10 petang.

"Mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya mengesahkan penemuan itu menamatkan usaha SAR yang digerakkan sejak pagi tadi.

Terdahulu, Chee dilapor memasuki kawasan hutan pada 5.30 petang, namun tidak kembali sehingga laporan polis mengenai kehilangannya dibuat keluarga, 8.15 malam.

Justeru, usaha pencarian dilakukan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bersama polis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2022 @ 5:58 PM