Anggota APM turut menyertai operasi mencari kru bot yang terjatuh dalam laut di 8.5 batu nautika dari barat Tanjung Manat, Sarikei awal pagi semalam. Foto Ihsan APMM
Anggota APM turut menyertai operasi mencari kru bot yang terjatuh dalam laut di 8.5 batu nautika dari barat Tanjung Manat, Sarikei awal pagi semalam. Foto Ihsan APMM
Erika George

Sarikei: Seorang kru bot nelayan tempatan dikhuatiri lemas selepas terjatuh dalam laut pada jarak 8.5 batu nautika dari barat Tanjung Manat awal pagi semalam.

Pengarah Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tanjung Manis Komander Maritim Gilbert Tinggak dalam kenyataannya hari ini berkata, kehilangan mangsa yang dikenali sebagai Hendry Belaja, 26, itu hanya disedari oleh tekong bot pada 4 pagi.

Menurutnya, Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching hanya menerima laporan dari Balai Polis Belawai pada 5 petang sebelum mengarahkan aset APMM ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemantauan serta pemeriksaan.

Katanya, APMM Tanjung Manis bertindak menubuhkan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti Awam Kampung Tanjung Sedi, Pulau Bruit pagi hari ini untuk memulakan usaha pencarian mangsa.

"Usaha pencarian hari ini memfokuskan kawasan pencarian di lokasi berkeluasan 60 batu nautika dari Pulau Bruit ke Tanjung Manat termasuk Kuala Paloh.

"MRSC Kuching mengkoordinasikan Op Carilamat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang membabitkan 45 pegawai dan anggota," ujarnya.

Gilbert turut menggesa komuniti maritim agar membatalkan niat ke laut sekiranya cuaca buruk dan sekiranya hendak turun ke laut pada masa sekarang, utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan.

Menurutnya, keadaan cuaca di laut pada masa kini yang tidak menentu ekoran musim Monsun Timur Laut bermula dari bulan Oktober hingga Mac tahun hadapan.

APMM sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian menerusi talian 084-613292 (Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Manis)/Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 7:20 PM