Pasukan bomba sedang menjalankan usaha pencarian secara permukaan di sekitar laluan sungai dipercayai kapal terbabit karam lalu tenggelam hari ini. FOTO ERIKA GEORGE
Pasukan bomba sedang menjalankan usaha pencarian secara permukaan di sekitar laluan sungai dipercayai kapal terbabit karam lalu tenggelam hari ini. FOTO ERIKA GEORGE
Oleh Erika George


Sarikei: Seorang juragan kapal terselamat, manakala dua lagi rakannya hilang selepas kapal jenis landing craft-tank yang sarat dengan jentera berat jenis Kobelco karam di Sungai Serding Tanjung Manis, pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataannya berkata, dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, orang awam yang adalah saksi yang turut berada di kawasan berhampiran ternampak seorang lelaki terkapai-kapai di tengah sungai lalu bertindak menyelamatkan mangsa.

"Sejurus berjaya diselamatkan, mangsa memberitahu saksi terbabit bahawa dua lagi rakannya masih hilang yang mana status kedua-duanya belum lagi diketahui," katanya.

Mangsa yang berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya kemudiannya dihantar ke Hospital Sarikei untuk diberikan rawatan lanjut.

Difahamkan, ketika terlihat mangsa, saksi dalam perjalanan ke Hospital Sarikei menggunakan laluan sungai berkenaan.

Beliau berkata, bahawa identiti mangsa dan dua lagi rakannya yang masih hilang belum lagi diketahui.

Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis turut bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung insiden berkenaan pada jam 9 pagi.

Komander Operasinya selaku Pegawai Bomba Kanan 2, Awang Busrah mengesahkan, sejurus sampai di lokasi kejadian, pasukannya mengenalpasti lokaliti sebenar kapal terbabit karam dan menjalankan pemantauan di sekitar kawasan kejadian.

"Setakat ini, usaha pencarian masih lagi diteruskan pasukan bomba dengan bantuan agensi berkaitan yang lain dalam usaha mengesan dua lagi kru kapal yang masih hilang," ujarnya.

Beliau berkata, sebarang perkembangan serta petunjuk terbaru berhubung usaha pencarian dua lagi mangsa yang dikhuatiri lemas dibawa arus deras akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 5:44 PM