GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Sarikei: Mayat seorang wanita warga emas ditemukan terapung tanpa pakaian di tebing Sungai Baron, 29 kilometer dari sini hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata mayat Lenya Sigat, 62, ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 10.35 pagi hari ini, lebih kurang 100 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang sejak Khamis lalu.

"Pasukan kedua SAR yang berjalan menyusuri sungai menghala ke lokasi terakhir mangsa, telah berjaya menemukan mayat yang berada di tebingan sungai dan terapung tanpa pakaian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi membawa naik mayat wanita warga emas itu dilakukan sebaik sahaja pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sarikei selesai membuat pemeriksaan dan operasi SAR yang memasuki hari ketiga ditamatkan pada 1 tengah hari tadi.

Berdasarkan laporan polis, kehilangan mangsa hanya disedari apabila adik lelakinya mendapati mangsa tidak ada di rumah pada 1 tengah hari Khamis lepas.

Adiknya kemudian memeriksa tempat mandi iaitu di sebatang anak sungai berhadapan Rumah Tury namun gagal menemukan mangsa di situ.

Usaha awal mencari bersama penduduk kampung terus dilakukan dan telah menjumpai tong cat berwarna putih berserta barangan seperti sabun dan pakaian milik mangsa hanyut 100 meter dari lokasi tempat mandi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2024 @ 5:55 PM