GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Seremban: Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan RM25 juta bagi mengatasi segera masalah bekalan air terawat di Port Dickson berikutan kekerapan berlaku gangguan bekalan air di sekitar daerah berkenaan, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) membuat perancangan bagi memasang jajaran paip baharu dari Kolam Teluk Kemang ke Kolam Si Rusa sejauh 10 kilometer dengan kos RM15 juta yang dijangka siap pada Jun 2023 dan menggantikan 'Raked Screen' di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi, dianggar bernilai RM5 juta.

"Selain itu, menggantikan 'Panel Switchboard' Elektrik di LRA itu dengan kos RM3 juta serta menggantikan empat tangki perumahan yang berusia dan rosak, kira-kira RM2 juta dan projek tersebut dijangka siap pada Mac 2023," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Aminuddin berkata masalah bekalan air terawat berpunca daripada penutupan LRA Sungai Linggi berikutan kadar kekeruhan air sungai itu terlalu tinggi apabila berlakunya hujan lebat di sekitar Seremban hingga loji tidak dapat memproses air mentah dari sungai tersebut.

Sementara itu, beliau berkata laporan siasatan Badan Kawal Selia Air (BKSA) negeri pada 30 Januari, 15 dan 17 Februari lalu mendapati kawasan tanah tinggi yang mengalami runtuhan akibat banjir pada hujung tahun lepas, masih berada dalam keadaan tidak stabil.

"Apabila berlaku hujan lebat di kawasan tanah tinggi itu, sisa-sisa runtuhan tanah dibawa air hujan dan mengalir masuk ke sungai berhampiran seterusnya masuk ke Sungai Linggi," katanya.

Menurutnya antara kawasan tanah tinggi terbabit adalah kawasan Gunung Berembun dan Bukit Tangga membabitkan jajaran Sungai Golai, Sungai Batang Penar, Sungai Jerlang dan Sungai Terip yang kemudiannya bertembung masuk ke Sungai Linggi.

Beliau berkata pihaknya akan mengambil langkah jangka pendek termasuk meningkatkan kekerapan rondaan penguatkuasaan di kawasan sekitar Sungai Linggi dan sungai lain yang kebarangkalian tinggi menyumbang kepada kekeruhan air di Sungai Linggi.

"Selain itu, kita mengambil tindakan sewajarnya selaras dengan Akta Air 1920 jika terdapat pemegang permit pengorekan pasir atau pihak yang menyebabkan pencemaran tersebut," katanya.

Bagi langkah jangka panjang, Aminuddin berkata kerajaan negeri merancang membina struktur takungan sedimen di bahagian hulu Sungai Gunung Berembun bagi mengurangkan kadar sedimen yang tinggi mengalir masuk ke Sungai Linggi dan tindakan lanjut bagi perancangan ini sedang disusuli oleh BKSA.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 6:10 PM