LRA Linggi mula menerima air mentah jam 5 petang selepas kerja pembaikan tebing runtuh oleh JPS selesai. FOTO Ihsan SAINS
LRA Linggi mula menerima air mentah jam 5 petang selepas kerja pembaikan tebing runtuh oleh JPS selesai. FOTO Ihsan SAINS
Mohd Amin Jalil

Seremban: Gangguan bekalan air yang dialami sebahagian penduduk di kawasan Rantau dan Port Dickson, dekat sini, sejak lima hari lalu dijangka berakhir pada Rabu ini.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) Norzita Ismail berkata, pihaknya lega apabila Loji Rawatan Air (LRA) Linggi memulakan operasinya pada jam 5 petang tadi selepas mendapat bekalan air.

"Hampir lima hari LRA Linggi tidak dapat beroperasi membekalkan air terawat kepada pengguna di Port Dickson dan Seremban berikutan tebing runtuh di Sungai Linggi.

"Selepas kerja-kerja menambak tebing oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) selesai, aliran air sungai mula memasuki muka sauk petang tadi untuk loji menjalankan proses pengepaman air mentah.

"Sains akan memastikan seluruh kawasan gangguan di Port Dickson dan Seremban mendapat bekalan air terawat selewat-lewatnya pada Rabu ini secara berperingkat bergantung kepada kerja-kerja di tapak oleh JPS," katanya.

Mengulas lanjut, Norzita berkata, pihaknya memahami setiap kesulitan pengguna yang menghadapi gangguan bekalan air melebihi tempoh 24 jam.

Beliau berkata, pelbagai usaha dilaksanakan untuk memastikan kawasan gangguan dapat dikecilkan dengan memanjangkan bekalan air dari sumber air yang berdekatan seperti Bukit Kunyit, Seremban Barat dan Spring Hill untuk daerah Port Dickson.

FOTO Ihsan SAINS
FOTO Ihsan SAINS

"Usaha juga dilakukan dengan mengambil bekalan air dari LRA Sungai Terip untuk daerah Seremban selain membeli air dari Selangor untuk kawasan Tanah Merah Site A (Port Dickson).

"Kerjasama yang berterusan daripada pihak operator air lain seperti Pengurusan Air Selangor, Ranhill Syarikat Air Johor, Syarikat Air Melaka Berhad, Pengurusan Air Pahang, Lembaga Air Perak dan Syarikat Air Terengganu dengan menghantar lori tangki dan kakitangan mereka amat membantu Sains," katanya.

Menurutnya, pembabitan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan juga banyak membantu syarikat itu dalam kerja-kerja pengagihan air di sekitar kawasan terjejas selain polis yang membantu melicinkan pergerakan lori tangki Sains.

Katanya, pihaknya akan terus memberikan maklumat terkini melalui laman web rasmi www.sainswater.com atau di Facebook Pusat Khidmat Pelanggan Sains serta Apps iSAINS.

"Pelanggan yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Sains di talian bebas tol 1800886982," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2020 @ 7:26 PM