RAKAMAN CCTV yang tular di media sosial menunjukkan van menghantar murid Tahun Satu yang meninggal dunia selepas dilanggar.
RAKAMAN CCTV yang tular di media sosial menunjukkan van menghantar murid Tahun Satu yang meninggal dunia selepas dilanggar.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Pemandu van atau bas sekolah perlu memastikan keselamatan anak murid ketika menurunkan mereka termasuk membantu kanak-kanak terbabit melintas jalan yang termaktub dalam prosedur operasi standard (SOP).

Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat, jika dilihat pada video yang tular itu didapati berlaku kecuaian oleh pemandu terbabit yang ingin cepat beredar sehingga tidak memastikan keselamatan mangsa.

Menurutnya, jika dilihat berdasarkan video itu, kanak-kanak terbabit turun dari pintu sebelah kanan kemudian terus melintas.

"Jika mengikut SOP ditetapkan, apabila murid melintas, kita (pemandu) juga kena membantunya melintas dengan selamat kecuali pelajar yang sudah dewasa namun tetap perlu memastikan keselamatan mereka.

"Selalunya amalan kita juga mempunyai dua pintu kita tidak akan menurunkan murid menggunakan pintu sebelah kanan sebaliknya menggunakan pintu kiri bagi keselamatan mereka," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Amali berkata, pemandu van sekolah terbabit juga dipercayai tidak berdaftar dan tidak mempunyai permit kerana jika berdaftar warna van mesti kuning dan tertera perkataan bas sekolah.

"Selain itu di sebelah pelekat cukai jalan di van itu juga perlu ada pelekat Puspakom dipamerkan di mana van atau bas sekolah perlu menjalani pemeriksaan setiap enam bulan sekali.

"Kita juga berharap ibu bapa menggunakan bas sekolah yang berlesen kerana pemandu yang berlesen wajib menjalani kursus keselamatan yang dikendalikan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad)," katanya.

Beliau berkata, pemandu yang tidak menghadiri kursus itu kurang peka mengenai prosedur keselamatan.

"Saya juga mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa di atas kejadian itu," katanya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM), Mohd Rofik Mohd Yusof menafikan kejadian itu membabitkan pengusaha bas sekolah yang berdaftar sebaliknya ia adalah kenderaan persendirian.

"Kami amat sedih dengan kejadian yang berlaku itu di mana mungkin pengusaha van persendirian terbabit tidak mengikut peraturan dan SOP keselamatan.

"Sepatutnya pelajar itu melintas dahulu barulah pemandu boleh bergerak dan saya juga agak terkejut apabila melihat mangsa turun dari pintu sebelah kanan kerana mengikut SOP ia perlu turun dari pintu sebelah kiri," katanya.

Bagaimanapun katanya, tidak menjadi masalah jika turun pintu di sebelah kanan tetapi pemandu terbabit juga perlu membawa pelajar terbabit melintas dengan selamat.

"Saya harap pengendali kenderaan persendirian ini lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam mengendalikan perkhidmatan itu," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan pemandu van yang melanggar seorang murid Tahun Satu hingga maut di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Jumaat lalu dipercayai tidak mempunyai permit sah.

Dalam kejadian 12.10 tengah hari, mangsa berusia tujuh tahun meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 1:32 PM