Alias Abd Rani


Batu Pahat: "Ibu sakit kanser, ayah sudah meninggal dunia." Demikian rayuan bekas penghuni rumah anak yatim selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mencederakan seorang junior di pusat pengajiannya, tiga tahun lalu.

Tertuduh yang kini berusia 20 tahun dan bekerja kilang memberitahu sedemikian ketika Majistret Suhaila Shafi'uddin memberi peluang kepadanya membuat rayuan berkaitan ikat jamin.

Mengikut pertuduhan, dia bersama-sama seorang lagi yang belum dituduh, didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang penghuni lelaki yang ketika itu berusia 11 tahun.

Kejadian itu berlaku dalam asrama sebuah rumah anak yatim dekat Taman Koperasi, di sini, pada 12.30 tengah malam, 19 November 2011.

Ketika kejadian, tertuduh berusia 17 tahun.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta, seorang wanita membuat laporan polis selepas mendapati mangsa pulang ke rumahnya di Kampung Kenangan Dato Onn, di sini dalam keadaan berjalan terhenjut-henjut.

Apabila ditanya, mangsa memberitahu dia dibuli penghuni asrama termasuk tertuduh ketika berada di asrama itu.

Akibat kejadian itu, mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dan pasukan perubatan mengesahkan terdapat kecederaan pada kaki mangsa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Memandangkan ketika kejadian tertuduh masih bawah umur, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman pada usia kejadian, selari dengan Seksyen 83 (3) Akta Kanak-Kanak 2001.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 Ogos untuk laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan juga hukuman.

Pada masa sama, mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 3:18 PM
TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas mengaku mencederakan penghuni rumah anak yatim, tiga tahun lalu. FOTO Alias Abd Rani
TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas mengaku mencederakan penghuni rumah anak yatim, tiga tahun lalu. FOTO Alias Abd Rani